'Tahu-tahu muncul atas padang,' pemerhati saran FAM buat kerja 'proper' perkenal pemain warisan


  • Podium
  • Selasa, 03 Jun 2025

Skuad Harimau Malaya dilihat sudah cukup bersedia untuk bertemu Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup. — Facebook/Malaysia NT

ISU pemain warisan sering menjadi tumpuan dalam dunia bola sepak negara. Namun, kebelakangan ini, semakin banyak berita palsu dan spekulasi tidak tepat mengenai calon-calon pemain warisan tersebar yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat.

Baru-baru ini, hangat diperkatakan mengenai kemungkinan tiga pemain kacukan iaitu penyerang America de Cali, Rodrigo Holgado, pertahanan Sabah FC, Jon Irazabal dan penyerang Jefte Betancor akan menyertai kem Harimau Malaya sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini.

Skuad Harimau Malaya dijangka mengumumkan senarai akhir tidak lama lagi dan tumpuan kini terarah kepada sama ada nama pemain warisan baharu akan disenaraikan atau tidak.

BACA LAGI: Tekad tamatkan penantian 10 tahun, Cklamovski berkobar-kobar bertemu Vietnam

BACA LAGI: Pilih tinggalkan padang, 3 pemain termasuk Messi Malaysia pilih gelanggang futsal

Pemain warisan Harimau Malaya, Hector Hevel (tengah) dan Facundo Garces (kanan). Facebook/Malaysia NT

Situasi itu menimbulkan persoalan sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan memperjelas status setiap calon pemain warisan bagi mengelakkan kekeliruan atau membiarkan perkara itu berlalu tanpa penjelasan rasmi.

Mengulas perkara berkenaan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat bahawa FAM wajar berkongsi latar belakang para pemain warisan bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang tidak berasas tersebar di media sosial.

"Memang patut pun FAM perlu ke hadapan untuk berkongsi status pemain warisan ini. Peminat pun ingin tahu status sebenarnya.

"Perkaitan pemain itu menerusi pertalian darah dengan siapa dan masih adakah warisnya lagi di sini. Ini kita cuma dengar statusnya melalui media dan pelbagai persepsi negatif muncul," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Pekan Ramli turut menegaskan agar FAM mengambil pendekatan lebih teratur dengan mengadakan sesi perjumpaan rasmi untuk memperjelaskan latar belakang dan pertalian para pemain warisan dengan Malaysia.

"FAM kenalah buat cara yang 'proper' sikit walaupun majlis yang kecil sekali pun. Ini tahu-tahu muncul di padang terus. Kita pun nak tahu juga pertalian darah dengan pemain yang warisan khususnya dari Amerika Latin dan negara-negara yang tiada hubungan sejarah dengan kita ini," ujarnya.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Facebook/Malaysia NT

Bagaimanapun, Pekan tidak melihat isu penyebaran berita palsu mengenai pemain warisan sebagai gangguan utama kepada persiapan pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, ialah jika Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski sendiri tidak mengetahui kewujudan nama-nama yang dikaitkan dengan pasukan.

"Berita palsu mengenai pemain warisan ini pada pandangan saya tidaklah menjejaskan fokus pasukan. Cuma agak mengejutkan berita-berita palsu ini turut mengelirukan Ketua Jurulatih negara.

"Jadi persoalan tentang pemain warisan ini adakah ianya di luar pengetahuan Ketua Jurulatih Harimau Malaya?," jelasnya.

Pekan dalam masa sama berharap isu tersebut tidak mengganggu fokus Harimau Malaya dan menegaskan lebih baik tumpuan diberi kepada pemain sedia ada yang sudah menjalani latihan bersama.

Tambahnya, tempoh yang terlalu singkat akan menyukarkan mana-mana pemain warisan baharu untuk membentuk keserasian dengan pasukan.

"Tumpukan sahaja untuk memantapkan pasukan sekarang dengan pemain sedia ada sekarang. Tinggal beberapa hari sahaja lagi Harimau Malaya akan menentang Vietnam.

"Lagipun kalau ada pun lagi pemain warisan yang bakal tiba tentu sukar untuk membentuk keserasian dalam pasukan dengan masa yang singkat ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram