
SEORANG anggota polis berpangkat koperal berusia 42 tahun cedera parah selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.
Insiden tersebut berlaku pada Isnin di Jalan Bukit Nenas, berhampiran Taman Rimbun Indah, dekat Seremban, Negeri Sembilan.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.55 pagi Isnin ketika mangsa, Mohd Fairus Khamis, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Beliau kini bertugas di Balai Polis Rahang.
BACA LAGI: Pilih kekal dalam dunia bola sepak, Nurri akui gembira di atas padang
BACA LAGI: Dikaitkan dengan Melaka, Sikh Izhan serah nasib kepada Selangor
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz secara bersendirian dari arah Sendayan menuju ke Sungai Ujong.
“Siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan selepas diseret dari sisi oleh sebuah kenderaan yang sedang melalui laluan tersebut.
“Motosikal mangsa kemudian terbabas ke bahu kiri jalan, manakala kenderaan yang melanggarnya terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk, cedera di bahagian bahu dan kepala.
Ujarnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut dan difahamkan perlu dibedah segera kerana pendarahan serius di kepala.
"Polis kini sedang mengesan kenderaan yang menghimpit motosikal mangsa.
"Sehubungan itu saksi kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6033394 bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram