
SELEPAS lima tahun berbakti, Rafael Vitor akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Penang FC menerusi satu kenyataan dikeluarkan di laman media sosial kelab tersebut pada Ahad.
Hantaran berkenaan menyatakan ucapan penghargaan buat bek kelahiran Brazil itu yang mencurahkan bakti besar buat skuad Harimau Kumbang sepanjang tempoh perkhidmatannya di Utara tanah air.
Manakan tidak, pemain tinggi lampai itu merupakan figura penting dalam barisan pertahanan pasukan kerana dia kerap mengeluarkan bola ketika situasi berbahaya menggunakan kelebihannya dari segi fizikal.
BACA LAGI: Penalti minit akhir Rafael Vitor hadiahkan senyuman buat Harimau Kumbang
BACA LAGI: Rodrigo Dias turut curi tumpuan di malam penampilan ke-100 Rafael Vitor bersama Penang
Skuad Harimau Kumbang menzahirkan ucapan penghargaan buat Vitor. — Facebook/Penang FC
Selain itu, bek berusia 32 tahun berkenaan memainkan peranan besar dari segi serangan selepas mencetak 22 gol daripada 119 penampilan rasmi dengan rata-rata jaringannya dicetak menerusi situasi bola mati mahupun sepakan penalti.
Jadi, perpisahannya menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang yang terus tertanya-tanya mengenai masa depannya kerana ada ura-ura mengatakan Vitor akan kembali ke negara kelahirannya.
Tetapi, berdasarkan perbincangan peminat di ruangan komen, ramai meramal pemain berkenaan akan disambar juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana dia sudah melepasi tempoh ditetapkan untuk menerima status naturalisasi.
"Adakah dia mahu ke JDT? Kalau betul, pasti dia pun meletakkan permintaan gaji juga. Jika Penang FC betul-betul menghargainya, tidak mungkin dia akan tinggalkan kelab ini," kata Dzuan Jaan.
"Kita sudah simpan pemain untuk lima tahun, tahu-tahu dapat ke kelab sana sahaja. Sayang betul, sepatutnya sebelum ini, kita adakan perjanjian dengan Vitor supaya dia wajib kekal selepas lima tahun bersama Penang," kata Danial Aris.
Vitor (kanan) meluangkan masa bersama pemain Harimau Selatan dalam satu aksi futsal di Johor. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Perkara ini sudah boleh dijangka sejak tahun lepas lagi kerana sebelum ini pernah terjadi kepada Endrick (dos Santos). Cukup lima tahun dan dapat kad pengenalan, tahu-tahu akan terus ke sana," kata Mierul GenStylo.
Bekas kapten Penang FC itu sudah berkali-kali dikaitkan sebagai calon bek tengah baharu Harimau Malaya sebelum ini dengan tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco turut berada dalam senarai.
Ini kerana barisan pertahanan skuad kebangsaan masih perlu diperkukuhkan dengan kehadiran pemain naturalisasi yang memiliki kelebihan fizikal dapat memastikan gawang pasukan sukar dibolosi.
Khabar angin mengaitkan Vitor ke JDT perlu timbul selepas pemain itu berkali-kali meluangkan masa di Selatan tanah air untuk menyaksikan skuad Harimau Selatan berentap dalam gelanggang futsal.
Tidak cukup dengan itu, dia juga sering kelihatan bertemu dengan dua pemain Brazil daripada kelab berkenaan dengan Endrick dan Bergson da Silva merupakan antara sahabat rapatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram