Penjaring terbanyak Liga Greece rupanya pemegang pasport Malaysia, layak wakili HM


  • Podium
  • Ahad, 01 Jun 2025

Betancor kini menyarung jersi Panserraikos secara pinjaman daripada Olympiacos. — Agensi

SELEPAS penyerang Liga Colombia iaitu Rodrigo Holgado dikaitkan dengan Harimau Malaya, skuad kebangsaan nampaknya akan menerima satu lagi peledak warisan yang kini sedang beraksi dalam saingan Liga Greece. 

Pemain yang dimaksudkan ialah Jefte Betancor apabila tonggak berkenaan memuat naik gambar memiliki pasport Malaysia hingga mencetuskan spekulasi bahawa penyerang tersebut bakal memperkuatkan Harimau Malaya. 

Meskipun hantaran yang dimuat naik pada Insta Story itu sudah dipadam, penyokong bola sepak domestik sempat menangkap layar dan kini sudah menjadi perbincangan dalam kalangan penyokong mengenai identitinya. 

BACA LAGI: Kelab sahkan Rodrigo Holgado dalam proses wakili Malaysia, jurulatih sangka ia khabar angin

BACA LAGI: Tajam depan gol berstamina 'kuda', hebatnya Rodrigo Holgado bukan biasa-biasa

Penyerang tengah kelahiran Sepanyol itu kini menyarung jersi Panserraikos secara pinjaman daripada Olympiacos dengan dia meledak 21 gol dan dua bantuan jaringan dalam 33 perlawanan dia diturunkan. 

Jumlah tersebut melayakkan pemain berusia 31 tahun itu menerima Anugerah Kasut Emas Super League 1 untuk musim ini. Sekali gus, membuktikan Betancor merupakan penyerang prolifik di Liga Greece.

Profil mengagumkan berkenaan pasti memberi jaminan kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang diketuai Peter Cklamovski untuk menggunakan khidmat Betancor sekiranya benar pemain berkenaan mempunyai darah Malaysia. 

Sekiranya Betancor dalam perjalanan menyarung jersi Malaysia, skuad kebangsaan kini mempunyai pilihan di bahagian hadapan seperti Romel Morales, Darren Lok, Paulo Josue dan penyerang yang dikaitkan dengan Malaysia pada baru-baru ini iaitu Holgado.

Tangkap layar hantaran Betancor yang dimuat naik penyokong.

Holgado difahamkan akan menyertai kem kebangsaan tidak lagi selepas wartawan Colombia, Dufie Lebron, melaporkan bahawa dia akan menyertai Harimau Malaya usai menyelesaikan tugasan bersama kelabnya, America de Cali.

Terdahulu, pemerhati bola sepak Argentina iaitu Cesar Luis Merlo melaporkan bahawa Holdgado akan beraksi buat Harimau Malaya buat pertama kali pada jendela bola sepak antarabangsa Jun ini.

Menurut Merlo, Hogado disambar untuk bermain bersama Harimau Malaya kerana mempunyai pertalian darah Malaysia menerusi neneknya. Holgado akan menyertai skuad ketika Malaysia bakal berdepan Vietnam pada 10 Jun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram