
KELAB gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir pada Ahad.
Perlawanan yang berlangsung di Allianz Arena, Munich, Jerman itu menyaksikan Les Parisiens meraih kemenangan besar menerusi jaringan dari Achraf Hakimi (12'), Desire Doue (20',23'), Khvicha Kvaratskhelia (73') dan Senny Mayulu pada minit ke-86 permainan.
Skuad bimbingan Luis Enrique itu kini menjadi kelab kedua dari Perancis yang berjaya menjulang Piala Eropah selepas Olympique Marseille melakukannya pada 1993.
BACA LAGI: [VIDEO] VAR selamatkan Liverpool 2 kali sebelum Elliott simpulkan malam derita PSG
BACA LAGI: Diterbangkan ke Paris, nasib penyerang Liverpool masih jadi tanda tanya hadapi PSG
Kemenangan pasukan berkenaan jelas menggembirakan penyokongnya hingga menyaksikan berlaku kekecohan di ibu kota Perancis dengan pengikut PSG melakukan perbuatan melampau apabila memecah masuk kedai serta membakar kereta.
Menerusi video tular yang dimuat naik RT_Com pada laman X, kelihatan beberapa kenderaan milik orang awam di Paris musnah dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab sambil penyokong yang lain membakar suar dan bunga api.
Memetik laporan Daily Mail, sekurang-kurangnya 131 individu ditahan di ibu negara Perancis selepas tercetusnya rusuhan dan kegiatan merompak susulan kemenangan PSG dalam perlawanan akhir UCL.
Kekecohan yang melampau semasa dan selepas perlawanan berakhir, melibatkan keganasan di beberapa kawasan utama di Paris apabila ribuan penyokong turun ke jalanan meraikan kejayaan bersejarah kelab bola sepak tersebut.
Incredible scenes of destruction in Paris pic.twitter.com/MLb4JROwIh
— RT (@RT_com) June 1, 2025
Jurucakap Polis Paris memaklumkan bahawa lebih 130 tangkapan dibuat menjelang tengah malam, manakala kekacauan berlarutan sehingga ke pagi Ahad. Anggota polis dikerahkan ke pelbagai lokasi panas di seluruh bandar bagi mengawal keadaan.
Di sekitar stadium Parc des Princes, peminat yang terlalu ghairah bertindak menceroboh jalan utama hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas. Keadaan menjadi semakin tegang apabila polis rusuhan terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan belantan bagi menyuraikan orang ramai.
Di Porte de Saint-Cloud, beberapa buah kenderaan dibakar, manakala bunga api roket dilaporkan dilepaskan ke arah pihak berkuasa. Sementara itu, dataran-dataran utama seperti Republique, Bastille dan Nation turut dipenuhi lautan penyokong dengan insiden ganas direkodkan di kesemua lokasi tersebut.
Gas pemedih mata telah digunakan untuk mengawal orang ramai. — Agensi
Di Bastille, seorang wanita berusia 23 tahun mengalami kecederaan serius selepas terjatuh ke atas penghadang dari tiang peringatan Revolusi Perancis.
Di kawasan Champs-Elysees pula, langkah kawalan ketat dilaksanakan termasuk pemasangan penghadang besi oleh gedung-gedung utama dan bank bagi menghalang kegiatan merompak.
Bukan itu sahaja, sebuah kedai Foot Locker turut dipecah masuk dan sejumlah kasut sukan dicuri. Sebuah kedai perabot Maisons du Monde di Avenue Wagram turut menjadi sasaran perompak.
Pihak berkuasa sebelum ini dilaporkan sudah menempatkan sekitar 5,400 anggota polis di seluruh bandar memandangkan keganasan telah dijangka berlaku, tanpa mengira keputusan perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram