
PENDATANG baharu Liga Super, Brunei DPMM FC dilaporkan berminat untuk mendapatkan pertahanan kiri Sri Pahang FC, Azwan Aripin sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh skuad menjelang musim baharu.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengumumkan penyertaan rasmi Brunei DPMM FC ke dalam Liga Super bermula musim 2024/2025.
Susulan pengesahan tersebut, pasukan yang sebelum ini beraksi dalam Liga Singapura itu pantas mengorak langkah dengan merekrut pemain baharu.
BACA LAGI: Hebatnya anak jati Perak, kini bergelar jurulatih Prima United FC
BACA LAGI: Lepas sambar Fairuz Zakaria, bekas bek Penang, Kelantan kini dalam radar DPMM
Azwan Aripin (kanan) kini dalam radar DPMM FC. — Facebook/Sripahangfc
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikongsikan oleh DPPMM, kelab itu menyatakan hasrat mereka untuk mendapatkan bek kiri berusia 29 tahun yang merupakan tonggak utama Sri Pahang musim lalu dengan 25 penampilan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
"DPMM FC berminat untuk mendapatkan khidmat bek kiri Malaysia, Azwan Aripin. Azwan telah beraksi dalam 20 perlawanan untuk Sri Pahang sepanjang musim 2023/2024 dan menjadi pemain utama dalam kesemua perlawanan musim 2024/2025 bersama Sri Pahang.
"Bek kiri DPMM sekarang, Najib Tarif, sudah berusia 37 tahun, manakala DPMM pula hampir melepaskan Muiz Sisa. Oleh itu, DPMM sedang giat mencari bek kiri dari Malaysia untuk mengisi kekosongan tersebut," kata kenyataan tersebut.
Juara dua kali Liga Singapura itu melihat Azwan sebagai calon ideal bagi mengisi kekosongan di posisi bek kiri, susulan usia veteran Najib Tarif yang kini mencecah 37 tahun serta kemungkinan perpindahan Muiz Sisa.
Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, bek kiri berketinggian 1.71 meter itu bakal menjadi rekrut terbaru DPMM selepas ketibaan bekas pemain Penang FC, Fairuz Zakaria yang telah menyertai kelab berkenaan sebelum ini.
Selain Fairuz, DPMM sebelum ini dalam usaha mendapatkan khidmat pemain pertahanan kebangsaan Filipina, Christian Rontini yang kini beraksi bersama kelab Liga 1 Thailand, Nongbua Pitchaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram