
PASANGAN beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya mereka kini sedang menikmati antara prestasi terbaik dalam kerjaya mereka selepas mara ke separuh akhir Terbuka Singapura.
Pada Jumaat, pasangan berkenaan berhasil membalas dendam kekalahan mereka di tangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada kejohanan Masters Malaysia dengan kemenangan 22-20, 21-17 dalam perlawanan suku akhir.
Ia merupakan penampilan separuh akhir ketiga berturut-turut buat Aaron-Wooi Yik dalam tempoh tiga minggu, selepas aksi cemerlang mereka di Terbuka Thailand dan Masters Malaysia.
BACA LAGI: Bukan setakat Asia, Eropah kini semakin ramai bintang badminton
BACA LAGI: Kelab-kelab badminton boleh mula bersatu, anjurkan pertandingan bantu pembangunan pemain
Di Bangkok, mereka muncul juara Terbuka Thailand apabila menewaskan pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam perlawanan akhir. Mereka hampir meraih kejuaraan kedua di Masters Malaysia pada minggu lalu tetapi tewas kepada Wei Chong-Tee Kai Wun di final.
Aaron-Wooi Yik kini bertekad untuk meraih satu lagi tempat di podium dalam rentak cemerlang mereka, namun perlu melepasi halangan sukar di separuh akhir menentang pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada Sabtu.
Di atas kertas, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan dari segi ranking dunia dan rekod pertemuan, dengan sembilan kemenangan daripada 12 pertemuan menentang pasangan India yang kini berada di ranking ke-27 dunia.
Namun begitu, Aaron enggan memandang mudah terutama selepas kemenangan mengejut Satwiksairaj-Chirag ke atas pasangan nombor satu dunia dan rakan senegara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin di suku akhir.
“Saya rasa mereka mungkin mengalami kecederaan sebelum ini, jadi kita tak banyak lihat mereka beraksi bulan lalu. Ini menjadikan agak sukar untuk menilai prestasi semasa mereka,” kata Aaron.
“Apa yang berlaku dalam perlawanan terdahulu tidak penting, kerana ini adalah situasi yang berbeza. Buat masa ini, kami hanya mahu fokus untuk memberikan persembahan terbaik menentang Satwik dan Chirag dan lihat apa yang berlaku esok,” tambah Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik menyandarkan prestasi cemerlang mereka kebelakangan ini kepada bimbingan jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi yang telah membawa kestabilan dan keyakinan kepada permainan mereka, walaupun mereka akui masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Saya rasa kami sudah pun konsisten sebelum ini, tapi kali ini rasanya berbeza, mungkin kerana kami sudah bertambah matang dan meningkat dari segi permainan.
"Masih banyak ruang untuk penambahbaikan, terutamanya kerana ini baru permulaan dengan jurulatih baharu. Ini adalah satu perjalanan baharu dan kami perlu benar-benar bersedia untuk masa depan,” kata Wooi Yik.
Berkenaan kemenangan suku akhir ke atas Wei Chong-Kai Wun, Wooi Yik merasakan ia tidak banyak beza dengan perlawanan akhir Masters Malaysia minggu lalu, cuma kali ini mereka bermain dengan lebih konsisten sepanjang perlawanan.
“Saya rasa tiada banyak perbezaan sebab kami rakan sepasukan, kan? Kami memang kenal sangat antara satu sama lain.
"Akhirnya, ia bergantung kepada siapa yang bermain lebih baik pada hari itu. Saya rasa hari ini kami bermain dengan lebih baik dan lebih konsisten berbanding mereka, jadi jurangnya tidak besar,” katanya.— The Star/ADAMZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram