Berpisah seketika, ‘gengster duo’ jumpa semula rentak kemenangan di Terbuka Singapura


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Tang Jie-Ee Wei lolos ke pusingan kedua Terbuka Singapura pada Selasa. — Facebook/BWF

PASANGAN beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuat kemunculan kembali yang cemerlang di Terbuka Singapura selepas berpisah seketika.

Tang Jie-Ee Wei menunjukkan kelas mereka apabila menewaskan pasangan Amerika Presley Smith-Jennie Gai 21-18, 21-15 dalam masa hanya 31 minit pada pusingan pertama di Stadium Tertutup Singapura pada Selasa.

Ia merupakan kemenangan yang baik bagi pasangan nombor empat dunia itu dalam kejohanan individu pertama mereka bersama sejak All-England pada bulan Mac.

BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia

BACA LAGI: Misi buru gelaran di Vietnam, prospek badminton negara teruja berganding pemain veteran

Tang Jie-Ee Wei sebelum ini mengambil keputusan berpisah selepas saingan All England, namun kembali bergandingan untuk saingan Piala Sudirman bulan lalu yang menyaksikan Malaysia mara ke suku akhir.

Dalam tempoh perpisahan mereka, kedua-dua pemain itu diberikan peranan untuk membimbing pemain junior apabila Tang Jie digandingkan dengan Chan Wen Tse manakala Ee Wei membentuk gandingan bersama Loo Bing Kun ketika menyertai Terbuka Taiwan dan Masters Malaysia baru-baru ini.

Selepas ini, Tang Jie-Ee Wei akan menentang pasangan Taiwan, Ye Hong-wei-Nicole Chan seterusnya untuk merebut tempat ke suku akhir.

Sementara itu, pasangan bebas Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien mengalami kekalahan yang mengecewakan selepas tewas dengan sengit 21-19, 19-21, 20-22 kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dalam masa 61 minit. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram