
JURULATIH perseorangan badminton Ireland, Iskandar Zulkarnain mengakui menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk kembali berkhidmat untuk negara.
Bekas pemain perseorangan lelaki negara itu kini bersama-sama negara Eropah itu dalam misi membangunkan sukan badminton di negara tersebut.
Usaha Iskandar itu dapat dilihat apabila anak buahnya, Nhat Nguyen menewaskan pemain tempatan, Leong Jun Hao 10-21, 21-18, 21-9 di Malaysia Masters yang berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Piala Sudirman: Tak sampai sejam, Jun Hao ketuai Malaysia menang 5-0 ke atas Perancis
BACA LAGI: Muncul juara Terbuka Thailand, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 'mandi peluh' jinakkan beregu Denmark
Menurut Iskandar, dia sedar yang dirinya berada dalam radar BAM ketika ini namun begitu masa diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Hal ini kerana, Iskandar begitu komited untuk memenuhi kontraknya bersama Ireland yang akan tamat selepas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
"Saya ada dihubungi oleh seseorang dari BAM, tapi saya sendiri tidak pasti.
"Kontrak saya akan tamat pada 2028, Nguyen juga maish muda dan keluarga saya baru saja berpindah ke Ireland. Jadi, saya perlu pertimbang semua perkara secara mendalam.
"Saya juga tidak pasti jawatan yang ditawarkan adalah untuk perseorangan lelaki atau perseorangan wanita," ujar Iskandar.
Buat masa sekarang, BAM sedang mencari pengendali baharu selepas jurulatih perseorangan wanita, Jeffer Rosobin meletakkan jawatan secara mengejut pada Februari. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram