JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus sibuk memasuki jendela perpindahan kedua Liga Super selepas membawa masuk empat muka baharu menjelang saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit 2024/25.
Antara yang disambar ialah bek Korea Selatan, Park Jun-heong dari Ratchaburi FC dan Christian Abad sebagai penjaga gol muda terbaru buat skuad Harimau Selatan.
Namun, perbelanjaan itu tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini, kelab tersebut dikaitkan dengan penyerang kelahiran Colombia, Jorge Obregon yang kini beraksi di Croatia bersama HNK Rijeka.
BACA LAGI: Awas JDT, bekas pemain Liverpool, Chelsea, Arsenal menanti anda di ACL Elite
BACA LAGI: JDT mungkin dah tahu 'game play' Ulsan HD, taktikal Kim Pan-gon dalam tangan
Bergson mungkin akan digantikan Obregon dalam musim-musim akan datang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ini selepas pemain berkenaan didapati sudah mengikuti pemilik JDT, Tunku Ismail Idris di Instagram dengan perkara tersebut sudah disedari penyokong mereka.
Khabar angin itu pastinya membuatkan masing-masing tidak senang duduk memandangkan penyerang tersebut berkemungkinan akan menggantikan tonggak pasukan, Bergson da Silva.
Malah, usianya yang baru sahaja mencecah 27 tahun menyaksikan kelab Selatan tanah air itu memiliki perancangan jangka masa panjang demi kelangsungan pasukan.
Bagaimanapun, perkhabaran tersebut juga heboh diperkatakan di Croatia apabila sebuah agensi media mereka, Sportske Novosti melaporkan Obregon enggan turun ke padang latihan demi memastikan perpindahan itu dimeterai.
Tindakan itu dibuat selepas Presiden HNK Rijeka, Damir Miskovic tidak mahu menerima tawaran pertama bernilai €300,000 (RM1.46 juta) dari JDT.
Miskovic pada awalnya enggan menerima tawaran JDT untuk mendapatkan Obregon. — Agensi
"Bagaimanapun, selepas tawaran €500,000 (RM4.8 juta) hadir, presiden itu masih enggan menerimanya kerana tidak pasti ia adalah satu nilai berbaloi buat kelab.
"Jadi, selepas menerima perkhabaran itu, Obregon mengambil keputusan untuk tidak hadir ke sesi latihan kerana dia berkeras untuk meninggalkan HNK Rijeka walau apa sekalipun," katanya.
Pasukan itu kemudiannya terpaksa menerima tawaran dari JDT berkenaan dengan media tersebut turut melaporkan Obregon sudah melepasi ujian kesihatan dan kecergasan skuad Harimau Selatan.
Untuk rekod, bekas penyerang skuad Bawah 20 Tahun (B-20) Colombia itu sudah merekodkan 17 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 105 penampilannya buat HNK Rijeka.
Catatan itu sudah tentu disedari JDT yang percaya bahawa pemain berkenaan mampu membantu mereka, lebih-lebih lagi dalam misi pasukan untuk menjadi pasukan digeruni di pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram