Labur RM40 juta selepas 3 tahun, Perak FC masih jaga kebajikan pemain, staf


  • Podium
  • Ahad, 25 Mei 2025

Kelab Utara tanah air itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super musim depan. — Facebook/Perak FC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Perak FC gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi Liga Super 2025/26 selepas gagal menepati kriteria kewangan ditetapkan.

Kegagalan tersebut sudah tentu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang amat mencintai kelab yang penuh dengan sejarah sepanjang lebih 100 tahun penubuhannya.

Mengulas akan perkara itu, Perak FC menyatakan pelaburan besar sudah dibuat pihak pengurusan, termasuk menyelesaikan hutang terdahulu yang bagaimanapun tidak memberi keuntungan berbaloi.

BACA LAGI: 'Beri peluang Perak-Kedah ganti Sri Pahang jika tak hantar pasukan hanya tambah masalah'

BACA LAGI: Tak perlu belanja besar, Imigresen boleh pancing tonggak Kedah, Perak dan bintang buangan Penang

"Perak FC memulakan perjalanan ini dengan penuh aspirasi dan semangat di jiwa iaitu membersihkan RM8 juta yang ditinggalkan pengurusan terdahulu dan memperuntukan RM10 juta untuk menguruskan operasi kelab.

"Setiap sen yang dilaburkan digunakan hanya untuk kos operasi dan gaji kesemua empat pasukan, jurulatih dan staf pentadbiran pada musim lalu," tulis kelab itu menerusi satu kenyataan.

Berdasarkan laporan musim lalu, kelab Utara tanah air itu mengalami masalah tunggakan cukup teruk sehingga menyaksikan beberapa pemain tampil meluahkan kekecewaaan di media sosial masing-masing.

Ini merupakan satu episod duka baharu dalam sejarah skuad TBG kerana pada 2021, mereka turut mengalami masalah sedemikian sehingga menyaksikan mereka tersungkur ke Liga Perdana.

Ketiadaan skuad TBG dalam Liga Super musim depan cukup mengecewakan ramai pihak. Facebook/Perak FC

Pengumuman itu turut menyatakan pihak pengurusan kelab tidak melupakan peranan terhadap pemain dan kakitangan pasukan yang pasti terkesan akan setiap masalah dialami.

"Bagi menunaikan tanggungjawab, Perak FC sudah menghantar pulang pemain import dan membayar apa yang termampu kepada staf dan pemain dengan baki dana ada.

"Semua staf dan pemain dimaklumkan bahawa Perak FC tidak akan menyertai sebarang liga atau pertandingan pada musim akan datang dan para pemain dan jurulatih kini bebas mencari peluang di kelab bola sepak yang lain," tulisnya.

Untuk rekod, pemegang saham majoriti Perak FC merupakan XOX Pro Sport Sdn Bhd yang menjadi pemilik kelab bermula 2022 dengan mereka ketika itu berada dalam divisyen kedua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram