
BAGI menyelesaikan hutang-hutang yang tertunggak, Perak FC mengambil inisiatif untuk menguruskan peralatan latihan pasukan dan baki barangan cenderamata selepas mereka disahkan tidak beraksi dalam saingan Liga Super.
Laporan MFL menerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB) sebelum ini mengumumkan Perak FC tidak berjaya memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi Liga Super 2025/26 selepas gagal menepati kriteria kewangan ditetapkan.
Disebabkan kekangan tersebut, insiatif menjual peralatan sukan mereka itu dilakukan segera sambil skuad The Bos Gaurus (TBG) juga menunggu dana daripada pengelola bola sepak domestik bagi melunaskan komitmen tertunggak.
BACA LAGI: 'Beri peluang Perak-Kedah ganti Sri Pahang jika tak hantar pasukan hanya tambah masalah'
BACA LAGI: Tak perlu belanja besar, Imigresen boleh pancing tonggak Kedah, Perak dan bintang buangan Penang
Perkembangan itu dikongsikan oleh pihak pengurusan pada Ahad apabila mereka mengesahkan bahawa kelab berpangkalan di Utara tanah air berkenaan akan menutup tirainya daripada saingan Liga Malaysia.
"Kepada Yob dan Yong (panggilan untuk penyokong), sokongan tanpa belah bahagi anda amat bermakna buat Perak FC. Kepada pemain dan kakitangan, terima kasih atas segala jasa dan dedikasi sepanjang bersama Perak FC.
"Ini bukanlah penamat yang diharapkan, namun kami perlu berpijak di bumi nyata. Kekangan dana membataskan segala-galanya dan kini tiba masanya kelab ini ditutup.
"Buat masa ini, kami masih menguruskan peralatan latihan pasukan dan baki merchandise untuk dijual serta menunggu dana daripada MFL bagi kegunaan menyelesaikan kewajiban yang tertunggak sebaik mungkin," kata Perak memetik kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu, kenyataan itu juga memberitahu bahawa semua pemain import telah dihantar pulang, manakala pembayaran kepada kakitangan serta pemain tempatan dibuat berdasarkan kemampuan dan baki dana yang masih ada.
“Semua kakitangan dan pemain dimaklumkan bahawa Perak FC tidak akan bertanding dalam mana-mana liga musim depan. Pemain dan jurulatih kini bebas mencari peluang bersama kelab lain,” jelas kenyataan itu.
Pengurusan skuad Seladang turut mendedahkan bahawa mereka memulakan operasi kelab dengan membayar hutang sebanyak RM8 juta yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.
Foto peralatan sukan dipercayai milik skuad Perak FC tersebar di media sosial.
Sepanjang tiga tahun beroperasi, lebih RM40 juta telah dilaburkan dengan peruntukan tahunan RM10 juta untuk menampung kos operasi empat pasukan, gaji pemain, jurulatih dan kakitangan pentadbiran.
“Setiap sen telah dibelanjakan bagi memastikan kelab terus beroperasi sepanjang musim lalu. Namun, selepas dua setengah musim, kami dengan dukacita memaklumkan bahawa tiada lagi dana untuk meneruskan perjalanan kelab ini,” kata pengurusan Perak FC.
Untuk rekod, pemegang saham majoriti Perak FC merupakan XOX Pro Sport Sdn Bhd yang menjadi pemilik kelab bermula 2022 dengan mereka ketika itu berada dalam divisyen kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram