
SESIAPA yang mengikuti saingan Liga 1 Indonesia pasti mengenali Yuran Fernandes iaitu tonggak utama bahagian pertahanan PSM Makassar sejak menyertai pasukan berkenaan pada musim 2022 sehingga kini.
Selepas menyarung jersi skuad Juku Eja kira-kira empat tahun, bek tengah berusia 30 tahun itu dikaitkan dengan isu kontroversi apabila digantung oleh Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) kerana mengeluarkan komen terhadap sukan tersebut di negara itu.
Sebelum ini, bintang Cape Verde itu digantung setahun akibat mengecam bola sepak Indonesia yang dikatakan penuh rasuah selepas golnya menentang PSS Sleman dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).
BACA LAGI: Ada 'leadership', tajam depan gol jadi kualiti kenapa Selangor wajar kejar Yuran Fernandes
"Bola sepak di Indonesia adalah jenaka. Sebab itu tahap korupsi di sini masih sama. Jika anda mahu buat duit, datanglah ke sini. Jika anda mahu bermain bola sepak secara serius, jauhi Indonesia," kata Fernandes.
Selepas PSM Makassar membuat rayuan untuk ketua pasukan mereka itu, PSSI akhirnya memutuskan untuk mengurangkan hukuman 12 bulan Yuran kepada tiga bulan dan membayar denda sebanyak IDR 25 (RM6,775).
Hukuman diberikan kepada Yuran itu seolah-olah membuka pintu peluang kepada kelab Liga Super untuk mendapatkan khidmat dan ia juga disahkan sendiri oleh pemain berketinggian 1.98 meter berkenaan.
Bekas pemain Torreense itu tidak menafikan menerima tawaran daripada kelab lima teratas Liga Super namun Yuran menegaskan bahawa dia masih mempunyai kontrak dengan PSM Makassar sehingga Mei 2026.
Jika melihat kepada kedudukan Liga Super musim 2024/2025, Johor Darul Ta'zim, Selangor FC, Sabah FC, Kuching City dan Terengganu FC merupakan lima kelab teratas.
"Saya mempunyai beberapa perbualan (dengan kelab Liga Super) tetapi saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama. Saya masih mempunyai kontrak dengan pasukan saya di Indonesia.
Saya fokus pada pasukan saya.
"Saya akan bermain di Indonesia kerana sekarang hukuman saya dikurangkan kepada tiga bulan. Jadi pada Ogos nanti, saya akan bermain dengan pasukan saya lagi. Sekarang, saya hanya mahu beraksi di Indonesia," katanya.
Yuran ditemui selepas perlawanan Malaysia menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Kesebelasan utama Cape Varde menentang Malaysia. — Instagram/YuranFernandes
Bercakap mengenai perlawanan itu, Yuran akui ia merupakan ujian yang baik bagi Cape Varde dengan negara dari benua Afrika Selatan itu juga sedang mempersiapkan diri untuk Kelayakan Piala Dunia.
"Permainan itu sangat bagus. Ini adalah ujian yang sangat baik bagi pasukan kami. Kami datang ke sini dengan beberapa pemain membuat penampilan pertama di pasukan kebangsaan. Bukan keputusan yang kami mahukan tapi permainan yang baik. Saya bangga.
"Kami tahu bagaimana suasana di sini. Sangat panas. Pada separuh pertama, kami rasa sedikit kepanasan itu tetapi permainan yang sangat bagus. Suasana yang sangat luar biasa," tambah Yuran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram