Kerusi anyaman buatan tangan OKU, elemen tradisi penyeri dekorasi


  • Hias
  • Jumaat, 30 Mei 2025

Saravanan membuat bangku menggunakan pelbagai teknik anyaman seperti anyaman papan catur, anyaman serong dan anyaman sarang lebah.

DI zaman moden ini, ramai pemilik kediaman semakin cenderung memilih elemen dekorasi yang bukan sahaja cantik dipandang tetapi juga sarat nilai seni, cerita dan jiwa.

Dalam lautan perabot buatan mesin yang seragam, karya buatan tangan menawarkan keaslian dan karakter sukar ditandingi.

Salah satu elemen hiasan unik kini menarik perhatian ialah kerusi anyaman nilon berwarna-warni hasil tangan seorang lelaki buta yang penuh ketabahan iaitu Saravanan Velayuthan.

BACA LAGI: Hilang cincin tunang, wanita reka cerita kena rompak, takut dimarahi bakal suami asal Britain

BACA LAGI: Dulu minat Beckham kerana kacak, semakin dewasa lebih arif, Shafiqah tepis stereotaip wanita tak tahu tentang bola sepak

Berasal dari Johor dan kini menetap di Shah Alam, Saravanan, 54, telah berkecimpung dalam dunia kraf tangan selama lebih dua dekad.

Dengan kemahiran anyaman dan asas pertukangan kayu, beliau menghasilkan bangku dan kerusi tenun yang tidak hanya berfungsi sebagai tempat duduk, tetapi karya seni boleh menjadi titik tumpuan dalam mana-mana ruang.

"Menganyam tak susah. Apa saja jadi mudah bila kita minat,” ujar Saravanan, yang ditemui ketika sedang menyiapkan beberapa kerusi tenunnya di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, baru-baru ini.

Walaupun buta dan menghidap sindrom Marfan, Saravanan telah menghabiskan 25 tahun untuk menyempurnakan kemahiran kraftangannya.

Kerusi bukan sekadar perabot

Setiap kerusi hasil tangan Saravanan direka dengan ketelitian luar biasa.

Bingkainya diperbuat daripada kayu meranti telah dirawat haba untuk ketahanan, manakala tempat duduknya dihiasi tenunan benang nilon yang terang dan menarik.

Corak seperti jalur menyerong, sarang lebah dan anyaman papan catur memberi setiap kerusi rupa eksklusif dan moden.

Reka bentuk itu menjadikan kerusinya sesuai untuk pelbagai gaya dekorasi daripada ruang tamu gaya boho, sudut bacaan minimalis, hinggalah ke kafe berkonsep artisan.

Dengan harga antara RM130 hingga RM160 sebuah, ia juga satu pelaburan yang bukan hanya memberi nilai estetika, tetapi turut menyokong hasil kerja tangan komuniti orang kurang upaya (OKU) berbakat.

"Ramai suka tawar-menawar. Tapi kerja ini perlukan masa dan tenaga dan saya buta,” katanya.

Saravanan mengambil masa kira-kira dua hari untuk menyiapkan setiap kerusi, bergantung pada corak dan saiz.

Sebagai tunjang sokongan, Devayani (kanan) membantu bapanya dalam kerja-kerjanya, daripada mengecat bangku hinggalah menguruskan logistik.

Kraf dan harapan

Menjalani kehidupan dalam serba kekurangan, Saravanan tidak pernah berputus asa.

Beliau kehilangan penglihatan akibat sindrom Marfan pada usia lewat 20-an.

Sebelum itu, beliau bekerja sebagai pemandu lori dan sempat melihat wajah anak bongsunya sebelum menjadi buta sepenuhnya.

Kini, Saravanan bekerja dari flat kecilnya di Taman Alam Megah dan mampu menghasilkan antara lima hingga sepuluh kerusi sebulan.

Anak-anaknya turut membantu, termasuk mengecat kerusi dan menguruskan logistik.

Walaupun hasilnya tidak besar, beliau bersyukur kerana tiga daripada empat anaknya kini sudah berdikari.

Lebih dari itu, Saravanan menyimpan impian besar untuk membuka bengkel kecil di Brickfields bagi melatih dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan buta lain dalam bidang anyaman dan pertukangan asas.

"Saya nak buka tempat khas di mana orang buta boleh belajar dan bekerja. Tapi tanpa tempat yang sesuai dan tempahan tetap, susah nak bantu orang lain."

Setiap bangku buatan tangan mengambil masa dua hari untuk disiapkan oleh Saravanan, menggunakan pelbagai teknik anyaman yang berbeza.

Beli kerusi, sokong komuniti

Bagi mereka yang ingin menambah sentuhan istimewa dalam dekorasi rumah sambil menyokong hasil tangan tempatan, kerusi tenun Saravanan adalah pilihan sempurna.

Setiap kerusi bukan sahaja membawa keindahan, tetapi juga kisah perjuangan dan harapan.

Produk Saravanan akan dipamerkan sempena Hari Usahawan anjuran Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dari 31 Mei hingga 1 Jun di MAB, Brickfields, Kuala Lumpur.

Acara itu menghimpunkan 24 usahawan OKU dari pelbagai latar belakang dengan pelbagai produk seperti makanan, minuman, aksesori, penjagaan diri dan kraf tangan. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram