Ada 'leadership', tajam depan gol jadi kualiti kenapa Selangor wajar kejar Yuran Fernandes


  • Podium
  • Ahad, 11 Mei 2025

Selangor wajar kejar Yuran Fernandes untuk kuatkan pertahanan. — Agensi

LANGIT tiba-tiba saja menjadi gelap buat pemain PSM Makassar, Yuran Fernandes yang digantung oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) selepas memberikan komen pedas terhadap kualiti pengadilan di negara itu.

Dia digantung selama setahun menjadikan tahun terakhirnya dalam kontrak bersama Makassar terbuang begitu saja. Ia menimbulkan persoalan, wajarkah dia mencuba nasib beraksi di Malaysia?

Selangor FC dilihat begitu sesuai dengan Fernandes. Rakan senegara Alvin Fortes itu mungkin boleh menjadi jawapan kepada pengganti Safuwan Baharudin di bahagian pertahanan.

BACA LAGI: Digantung setahun di Indonesia, Selangor jangan teragak sambar 'budak nakal' PSM Makassar

BACA LAGI: Bek import perli Liga 1 Indonesia angkara rasuah, nasihat main tempat lain jika mahu serius jadi pemain bola

Ada kualiti kepimpinan

Satu daripada kualiti yang ada pada Fernandes adalah nilai kepimpinannya di dalam skuad Makassar musim ini.

Pemain pertahanan tengah itu merupakan ketua pasukan bagi Makassar dengan keberadaannya dalam pasukan membantu menstabilkan barisan bawah kelabnya.

Fernandes (tengah) merupakan ketua pasukan di PSM Makassar. — Agensi

Kehadiran Fernandes dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Safuwan. Bukan saja kekosongan sebagai pemain pertahanan tetapi juga ketua pasukan kerana bintang Singapura itu merupakan kapten Selangor musim ini.

Dengan berada pada usia 30 tahun, Fernandes masih mempunyai beberapa tahun untuk membuktikan kebolehannya dengan mengemudi pertahanan Selangor.

Tajam depan gol

Selain daripada teguh sebagai seorang pemain pertahanan, Fernandes juga merupakan seorang yang mampu menjaringkan gol.

Musim ini saja, Fernandes mempunyai beberapa jaringan dihasilkannya buat Makassar dalam kejohanan domestik serta antarabangsa.

Pertahanan berketinggian 1.98 meter itu sudah menghasilkan empat gol dalam Liga 1 Indonesia serta satu dalam Piala Shopee.

Malah, Fernandes juga sering melakukan bantuan gol dengan dia menghasilkan enam bantuan gol dalam kedua-dua kejohanan.

Fizikal teguh

Selain mempunyai kualiti kepimpinan serta tajam di depan gol, Fernandes juga mempunyai kualiti fizikal yang mantap.

Mempunyai ketinggian setinggi 1.98 meter membuatkan pemain itu mempunyai kelebihan dalam situasi perebutan bola di udara sama ada ketika bertahan atau menyerang.

Kekuatan fizikal merupakan aset Yuran Fernandes. — Agensi

Tambahan pula, Fernandes merupakan seorang pemain pertahanan berkaki kiri. Dengan itu, ia boleh menambah sengat buat Selangor dengan mempunyai pertahanan tengah berkaki kiri selain Harith Haiqal yang berkaki kanan.

Situasi menimpa Fernandes jelas tidak ideal ketika ini, namun Selangor boleh menyambarnya untuk memastikan kariernya terus berjalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram