
PENYERANG Kuala Lumpur (KL) City, Paulo Jouse akui berat hati untuk meninggalkan skuad Warga Kota meskipun menerima beberapa tawaran daripada kelab lain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.
Menerusi laporan media, pemain yang sudah berkhidmat untuk skuad The City Boys selama lapan tahun itu menerima tawaran menarik dari beberapa kelab dengan pasukan sedang meningkat naik iaitu Kuching City FC turut dikaitkan dengan Josue.
Bagaimanapun, pemain yang kini sudah berusia 36 tahun berkenaan masih berharap untuk kekal di Kuala Lumpur dengan Josue dan pihak pengurusan Warga Kota sedang mengusahakan ke arah keputusan positif itu.
BACA LAGI: 'Hilang Paulo Josue, Kamal Azizi', fans anggap lawan Buriram United ibarat jumpa JDT
BACA LAGI: The Cats bernafsu besar, Safawi Rasid-Paulo Josue dalam radar Kuching City, 'back up' Shamie Iszuan
"Saya berharap begitu (kekal di KL City). Kami sedang bekerja ke arah itu tetapi semuanya baik-baik sahaja. Saya berharap dapat berada di Kuala Lumpur dan terus membantu mereka dalam liga.
"Betul, saya menerima beberapa tawaran. Saya perlu mempertimbangkannya tetapi tidak sesuatu yang mudah untuk saya meninggalkan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui usai aksi Malaysia menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur terus menjadi gelanggang bertuah buat Josue apabila pemain naturalisasi Harimau Malaya itu berhasil meledak satu gol pada minit ke-79 untuk mengikat kedudukan.
Sebelumnya, perlawanan itu menyaksikan skuad kebangsaan tersentak apabila pasukan lawan terlebih dahulu menggegarkan gawang menerusi Sindy Cabral pada minit kesembilan dengan menewaskan Syihan Hazmi.
"Ia selalu istimewa untuk jaringkan gol. Terutamanya dalam pasukan kebangsaan, sebelumnya saya menghasilkan gol untuk Kuala Lumpur. Ia adalah satu malam yang luar biasa, saya pun melihat banyak penggemar Kuala Lumpur berada malam ini.
"Saya harap keputusan sebegini akan terus berlaku. Sangat sukar untuk bermain selepas 30 hari tanpa permainan. Kami hanya berlatih selama 10 hari dan kemudian kami mempunyai permainan yang sukar. Tetapi terima kasih Tuhan, semuanya berjalan lancar," katanya.
Gol dijaringkan itu juga pasti membawa kegembiraan kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski kerana Harimau Malaya masih belum mengalami sebarang kekalahan daripada dua perlawanan di bawah kendaliannya.
Kedudukan 1-1 kekal dengan setiap kekurangan sudah tentu akan cuba diperbaiki sebelum perlawanan seterusnya buat pasukan negara yang akan berdepan Vietnam bagi aksi kedua dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram