Hanya guna kerusi pejabat di tepi padang, Cape Verde buktikan wang ringgit tak boleh beli kualiti


  • Podium
  • Khamis, 29 Mei 2025

Barisan kejurulatihan Cape Verde hanya menggunakan kerusi pejabat ketika aksi persahabatan.

SKUAD kebangsaan tidak berpeluang memperbaiki kedudukan dalam FIFA ranking selepas hanya mencatatkan keputusan seri dalam aksi persahabatan Tier 1 menentang Cape Verde di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.

Perlawanan itu menyaksikan skuad kebangsaan tersentak apabila pasukan lawan terlebih dahulu menggegarkan gawang menerusi Sindy Cabral pada minit kesembilan dengan menewaskan Syihan Hazmi.

Gol tersebut menunjukkan benteng pertahanan Harimau Malaya masih perlu diperkukuhkan kerana gagal mengekang serangan negara Afrika itu yang berada di tangga ke-79 dunia.

BACA LAGI: Peter Cklamovski wajar turunkan 'ubi' TFC-Selangor walaupun Cape Verde dianggap lawan 'tricky'

BACA LAGI: Bintang Selangor jadi 'ejen', bocorkan rahsia Harimau Malaya kepada jurulatih Cape Verde

Malah, Cape Verde turut kelihatan tidak mempunyai fasiliti serba lengkap kerana barisan kejurulatihan hanya menggunakan kerusi pejabat dipercayai dipinjam dari pihak pengurusan Stadium Cheras.

Ini menunjukkan pelaburan dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuahkan hasil walaupun laporan terdahulu mengatakan badan induk bola sepak negara itu sudah menyuntik dana puluhan juta ringgit untuk skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, Harimau Malaya masih dapat tersenyum kerana serangan demi serangan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Paulo Josue meledak pada minit ke-79 untuk mengikat kedudukan.

Jaringan tersebut terhasil selepas berlakunya situasi kelam-kabut di hadapan gawang Cape Verde sebelum kapten KL City FC itu tenang mengikat semula kedudukan.

Gol dijaringkan itu juga pasti membawa kegembiraan kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski kerana Harimau Malaya masih belum mengalami sebarang kekalahan daripada dua perlawanan di bawah kendaliannya.

Kedudukan 1-1 kekal dengan setiap kekurangan sudah tentu akan cuba diperbaiki sebelum perlawanan seterusnya buat pasukan negara yang akan berdepan Vietnam bagi aksi kedua dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram