
ROMBAKAN besar-besaran dijangka dilakukan Manchester United pada jendela perpindahan kali ini susulan kegagalan kelab tersebut merebut slot ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) atau mana-mana kejohanan Eropah musim depan.
Bagaimanapun, menurut pengurusnya, Ruben Amorim, kegagalan berbuat demikian tidak mengganggu fokusnya dalam membentuk pasukan kerana dia sendiri sudah mempunyai perancangan mengenai apakah perubahan perlu dilakukan.
"Saya rasa kami sentiasa menyediakan dua perancangan, iaitu sama ada layak ke Eropah atau tidak. Jika kami tidak layak ke UCL, kami tidak memerlukan skuad yang terlalu besar. Ia membolehkan kami mengurus pasukan dengan lebih baik," katanya ketika sidang media di ibu kota pada Selasa.
BACA LAGI: 'Kami ada rancangan', Amorim balas tawaran RM600 juta Al-Hilal mahu beli Bruno Fernandes
BACA LAGI: Amorim enggan letak jawatan tapi sedia tinggalkan Man United tanpa pampasan
Amorim berkata demikian ketika sidang media Manchester United menjelang perlawanan menentang Asean All-Stars yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Walaupun akan ada beberapa penambahan pemain baharu, fokus utama kelab adalah untuk memperkukuhkan struktur sedia ada serta melabur dalam pembangunan akademi, sesuatu yang dianggap sebagai tonggak penting masa depan kelab.
"Sudah tentu, kami tetap ada perancangan untuk membawa masuk beberapa pemain baharu. Namun fokus utama kami adalah untuk memperkukuhkan pasukan sedia ada dan membangunkan akademi, kerana saya percaya itulah masa depan kelab. Ia pernah menjadi asas kami sebelum ini, dan boleh menjadi asas kami sekali lagi," katanya.
Menyentuh soal kewangan, Amorim menjelaskan bahawa kebebasan berbelanja kelab tetap terhad meskipun layak ke pentas Eropah, disebabkan peraturan kewangan yang ketat.
"Jadi, secara keseluruhan, perancangan kami tidak akan berubah terlalu banyak kerana kami terikat dengan peraturan kewangan. Malah, walaupun layak ke Liga Juara-Juara, kemampuan kami untuk berbelanja masih terhad. Kami sudah bersedia untuk situasi ini.
"Perkara paling penting ialah kami kekal bersatu, seperti yang saya tekankan sebelum ini, kami sedang berjuang dan perubahan tidak akan berlaku serta-merta. Tetapi saya dapat rasakan dan melihat kemajuan dalam pasukan ini dan itu yang paling utama," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram