Dugaan Harimau Malaya, bek lasak Sabah FC terlepas aksi menentang Cape Verde, Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Malaysia dijangka kehilangan khidmat bek kental Sabah FC akibat masalah kecederaan. — Facebook/MalaysiaNT

KEM Harimau Malaya terpaksa menelan pahit apabila dijangka kehilangan khidmat pertahanan kental Sabah FC, Dominic Tan menjelang aksi pemanas badan pertama menentang Cape Verde.

Perkembangan itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, yang melaporkan bahawa Dominic mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha.

Menurutnya, kecederaan tersebut bukan sahaja menyebabkannya berkemungkinan besar terlepas dua aksi persahabatan menentang pasukan The Blue Sharks, tetapi turut menggagalkan penyertaannya dalam perlawanan penting kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.

BACA LAGI: 'Saya terima', bekas CEO Perak FC tenang balas 'serangan' kain rentang

BACA LAGI: DPMM FC makin bernafsu besar, intai peluang sambar bek kiri Tok Gajah

Dominic Tan terlepas aksi bertemu Cape Verde dan Vietnam akibat kecederaan. Facebook/MalaysiaNT

“Saya difahamkan selepas dua hari menjalani latihan, pemain pertahanan Sabah itu terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

“Menerusi perbualan saya dengannya, Dominic meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat menyertai sesi latihan dan menjangkakan dia akan terlepas aksi menentang Cape Verde serta perlawanan getir menentang Vietnam.

“Kecederaan yang dialaminya adalah di bahagian pangkal paha. Oleh itu, dia terpaksa menerima keadaan ini dan mengikuti program pemulihan di bawah pemantauan Dr. Craig Duncan," katanya.

Meskipun mengalami kecederaan, Dominic tetap akan bersama skuad kebangsaan sepanjang tempoh tersebut dan dia kini menjalani pemulihan di bawah seliaan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya itu, dengan harapan dapat kembali cergas menjelang saingan bersama Sabah FC nanti.

Malaysia akan menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram