[VIDEO] 'Kecek Kelate', guna dialek Kedah jadi tarikan Man United pujuk fans buru trofi di Bukit Jalil


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Aksi persahabatan Man United menentang ASEAN All-Stars akan diadakan di SNBJ pada Rabu. — Facebook/MU

BERBAKI sehari lagi penyokong Manchester United akan berkesempatan menyaksikan pemain kesayangan mereka beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur bagi aksi persahabatan menentang ASEAN All-Stars pada Rabu. 

Demi menarik lebih ramai penyokong membanjiri Bukit Jalil, skuad bimbingan Ruben Amorim itu membuat satu inisiatif dengan mengajak penyokong menggunakan dua dialek popular tanah air iaitu Kedah dan Kelantan.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi mereka, Man United menggunakan pendekatan tersebut dengan membuat kapsyen menggunakan dialek Kedah dan Kelantan, ia jelas mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air. 

BACA LAGI: Man United perlu waspada, Aguero sedia gegar gawang The Red Devils di Bukit Jalil

BACA LAGI: Gagal julang trofi UEL, 200 staf Man United bakal dibuang kerja

"Demo mari doh! Hok molek, buwi rasa budu sket, baru molek atas padang (Mereka dah datang! Yang terbaik, bagi rasa budu sikit, baru sempurna di atas padang) Selamat datang ke Malaysia, Manchester United," kapsyen skuad The Red Devils pada Selasa.

"Lama dah dok tunggu depa mai. Esok ni satgi, haaa dapat tengok depan mata (Sudah lama tunggi mereka ini datang, akhirnya dapat juga tengok depan mata," tulis Man United pada satu lagi hantaran. 

Pada Isnin, ketibaan skuad Red Devils dengan 32 pemain yang terlibat dalam siri jelajah pascamusim itu disambut meriah peminat tegar yang mula berkampung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. 

Antara pemain terlibat Andre Onana, Altay Bayindir dan Tom Heaton yang bermain di posisi penjaga gol.

Pemain yang bermain di posisi pertahanan membabitkan Harry Amass, Dan Armer, Diogo Dalot, Matthijs de igt, Patrick Chinazaekpere Dorgu, Jonny Evans, Tyler Fredricson, Ayden Heaven, Jaydan Kamason, Godwill Kukonki, Harry Maguire, Reece Munro dan Luke Shaw.

Sementara Casemiro, Toby Collyer, Bruno Fernandes, Tyler Fletcher, Sekou Kone, Kobbie Mainoo, Jack Moorhouse, Mason Mount, Jim Thwaites dan Manuel Ugarte pula dibawa untuk bermain di posisi tengah.

Pemain di posisi penyerang pula terdiri daripada Alejandro Garnacho, Amad, Rasmus Hojlund, Shea Lacey, Chido Obi, dan Joshua Zirkzee.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di Bukit Jalil. 

Selepas Man United menamatkan musim 2024–25 di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris, pencapaian terburuk mereka sejak tahun 1974 dan terlepas merangkul trofi Liga Europa susulan tewas kepadaTottenham Hotspur F.C, penyokong masih setia bersama skuad The Red Devils.  — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram