
PENJAGA gol kebangsaan, Haziq Nadzli mengucapkan terima kasih kepada Perak FC sekali gus memberi bayangan dia bakal meninggalkan pasukan menjelang musim depan.
Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, menerusi ciapan di laman X.
Zulhelmi mendedahkan bahawa Haziq yang kini dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT), dijangka mencari haluan baharu.
BACA LAGI: 'End of an era', Perak FC hampir 100 peratus tidak beraksi musim depan
BACA LAGI: Penang FC terpaksa 'lawan' kelab Lembah Klang rebut sentuhan bakat muda Kelantan
“Terima kasih Perak. Haziq Nadzli tampak bawa haluan baru. Kuching City dilihat destinasi terbaik musim depan,” katanya.
Lebih mengukuhkan lagi khabar angin tersebut, Haziq turut memuat naik foto di laman Instagram miliknya dengan ucapan terima kasih kepada pihak kelab.
”Terima kasih Perak,” tulisnya ringkas di Instagram.
Sepanjang musim ini, Haziq memainkan peranan penting selaku benteng terakhir skuad The Bos Gaurus (TBG) dengan mencatatkan 19 penampilan dan enam perlawanan tanpa bolos, sekali gus menambat semula tempatnya dalam skuad kebangsaan.
Kini, masa hadapan Haziq bakal menjadi persoalan dengan Zulhelmi mengatakan bahawa Kuching City FC adalah destinasi terbaik buat penjaga gol berusia 27 tahun itu.
Dengan kontraknya yang berakhir pada 30 April ini menurut Transfermarkt, ramai penyokong tanah air berpendapat pasukan berpangkalan di Borneo itu merupakan pilihan terbaik buat Haziq.
Ini kerana skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia, selain turut dibarisi penjaga gol berpengalaman.
"Welcome to Kuching City, gotta be a good move," kata @hidayatnaufal.
"Kuching City on, sana ramai keeper veteren dan pasukan pun tengah meningkat naik," kata @syahrimanmahat.
"Kuching City destinasi yang sangat tepat untuk Haziq, lebih-lebih lagi di bawah kendalian Aidil Sharin," kata @aimanarif.
Terdahulu, masa depan Perak FC turut menjadi tanda tanya susulan laporan bahawa mereka tidak akan menyertai saingan Liga Super musim depan akibat isu luar padang.
Difahamkan, perjumpaan antara pihak pengurusan dan para pemain yang diadakan pada Jumaat juga dilaporkan gagal mencapai keputusan muktamad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram