Selain Eky, 3 lagi bekas anak murid K Devan boleh sarung jersi Hang Tuah


  • Podium
  • Isnin, 26 Mei 2025

Dari kiri: Tommy, Khuzaimi dan Sean pernah berkhidmat di bawah kendalian K Devan di skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEJAYAAN memperolehi lesen kebangsaan bagi Liga Super 2025/26 menyaksikan Melaka FC bercita-cita besar pada jendela perpindahan kali ini dengan mahu membawa masuk lambakan pemain baharu.

Berdasarkan khabar angin terkini, skuad Hang Tuah bakal mendapatkan khidmat bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md Fauzi yang musim lalu beraksi buat PDRM FC dengan empat gol dijaringkan dalam 23 perlawanan.

Meskipun catatan itu tidaklah begitu memberangsangkan, pemain yang turut dikenali sebagai Eky berkenaan dikaitkan dengan juara Liga A1 Semi Pro 2024/25 itu kerana pernah berada di bawah kendalian pengendali Melaka FC, K Devan.

BACA LAGI: Melaka hampir dapat rekrut pertama, anak didik Devan di NSFC jadi pilihan

BACA LAGI: Reputasi 'in the making' dan bijak mengurus, Devan masih pilihan terbaik terajui Penang

Shahrel Fikri menghabiskan tempoh semusim yang cukup baik bersama skuad Jang. Facebook/Negeri Sembilan FC

Hubungan yang pernah dibangunkan semasa kedua-dua mereka di Negeri Sembilan FC menjadikan jurulatih berusia 57 tahun terbabit tertarik dengan khidmat Shahrel Fikri sekiranya dia meninggalkan skuad Sang Saka Biru.

Namun, melihat kepada skuad Hang Tuah musim lalu, masih terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan meskipun mereka mudah menjuarai saingan peringkat semi-pro itu.

Tetapi, Melaka FC tidak perlu gusar kerana strategi mendapatkan Shahrel Fikri itu masih boleh diguna pakai dengan tiga anak didik K Devan tersedia untuk dibawa masuk kali ini.

1. Khuzaimi Piee

Melihat kepada rekod pertahanan skuad Hang Tuah musim lalu, mereka memiliki benteng terbaik kerana hanya melepaskan 13 gol yang menjadi aspek penting dalam membantu mereka menjuarai kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, arena Liga Super akan menyajikan ujian lebih hebat kerana jentera serangan kelab-kelab dalam divisyen teratas berada di kualiti tersendiri yang sukar dibendung.

Jadi, Melaka FC memerlukan seorang pemain dalam benteng dengan pengalaman luas diperlukan untuk sekurang-kurangnya membantu mengurangkan jumlah gol dibolosi sepanjang musim.

Khuzaimi dikatakan bakal meninggalkan skuad Gergasi Merah pada jendela perpindahan kali ini. Facebook/Selangor FC

Salah seorang pilihan terbaik sudah tentu bek Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee yang dikatakan bakal meninggalkan kelab Lembah Klang itu selepas dua musim yang sukar.

Bakatnya sebelum ini melonjak ketika di bawah bimbingan K Devan di Negeri Sembilan FC sehingga menyaksikannya menjadi pemain pertahanan bertaraf antarabangsa apabila menjadi watak penting Harimau Malaya.

Selain itu, Khuzaimi yang sudah berusia 31 tahun pasti tertarik dengan tawaran Melaka FC kerana ia membolehkannya berada lebih dekat dengan keluarga yang difahamkan kini menetap di negeri terbabit.

2. Sean Selvaraj

Musim ini, Sri Pahang FC memiliki lambakan pemain sayap yang lincah, namun masing-masing mengalami masalah konsistensi sehingga perkara itu merunsingkan ketua jurulatih, Fandi Ahmad.

Tetapi, dalam kalangan penyerang di posisi tersebut, Sean Selvaraj yang disambar dari Negeri Sembilan FC boleh dikatakan sebagai yang terbaik jika hendak dibandingkan dengan bintang lokal lain.

Sean yang beraksi buat skuad Tok Gajah musim lalu memiliki kebolehan dalam menambah baik mutu serangan Melaka FC. Facebook/Sri Pahang FC

Namun, tempohnya bersama pasukan Pantai Timur itu akan berakhir memandangkan kelab tersebut dilaporkan tidak akan menghantar pasukan meskipun memperolehi lesen kebangsaan.

Sekiranya Sean mahu mendapatkan kelab baharu dalam Liga Super, pilihan terbaik terhidang baginya sudah tentu Melaka FC kerana K Devan akan terbuka untuk menerima kehadirannya semula.

Gandingannya bersama penjaring terbanyak musim lalu, Azim Rahim akan menyaksikan satu gabungan menarik untuk ditonton, lebih-lebih lagi jika pengendali skuad Hang Tuah itu dapat menajamkan kebolehan Sean di hadapan gawang lawan.

3. Tommy Mawat Bada

Seperti dinyatakan di atas, barisan pertahanan Melaka FC masih perlu diperkukuhkan meskipun kelab tersebut menjadi pasukan dengan jumlah gol dibolosi paling sedikit dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu.

Oleh itu, pihak pengurusan perlu mencari seorang lagi pemain dalam posisi berkenaan dengan bek sayap turut diperlukan untuk mengurangkan serangan pihak lawan dari bahagian berkenaan.

Tommy Mawat mampu membantu barisan serangan menggunakan hantaran berbisanya. Facebook/Perak FC

Pilihan terbaik boleh dikatakan berada dalam pasaran ketika ini merupakan Tommy Mawat Bada yang juga sedang sibuk mencari kelab baharu susulan kegagalan Perak FC memperolehi lesen kebangsaan.

Dia yang mempunyai kebolehan mengagumkan untuk melakukan hantaran silang boleh menjadi senjata rahsia buat Melaka FC, lebih-lebih lagi pada penghujung waktu permainan.

Bagaimanapun, pihak pengurusan perlu bertindak segera sekiranya berminat dengan khidmatnya kerana laporan turut mengatakan Tommy berada dalam radar Kuala Lumpur (KL) City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram