
MASALAH pengurusan dialami sepanjang kempen 2024/25 menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam Liga Super musim depan selepas gagal memperolehi lesen kebangsaan.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Khamis, kelab Utara tanah air tersebut gagal memenuhi kriteria kewangan ditetapkan badan pengelola tersebut.
Menyedari perasaan kecewa dialami penyokong Hijau Kuning, pihak pengurusan tampil menyuarakan kekesalan berhubung perkara tersebut sambil menyatakan masa depan mereka susulan nasib dialami itu.
BACA LAGI: Tinggalkan padang rumput, bekas penyerang sayap KDA-Kuching sertai skuad futsal KFA
BACA LAGI: Masih adakah sinar terangi KDA FC bersaing dalam liga musim depan?
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab yang terkesan dengan berita ini.
"Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekurangan yang berlaku dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab," kata pemiliknya, Tan Sri Mohd Daud Bakar.
Jelasnya, masalah timbul yang melanda pasukan tersebut akan diselesaikan dengan mengadakan pertemuan bersama semua pihak terkesan, namun tidak dipastikan bilakah ia akan berlangsung.
Usaha tersebut smemeangnya diharapkan mampu membuahkan hasil kerana kelab berkenaan memiliki sejarah tersendiri dengan ketiadaan mereka hanya akan merencatkan kemeriahan bola sepak tempatan.
Daud Bakar menyatakan kesungguhannya untuk menyelamatkan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
"KDA FC kini juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memastikan kelab terus kekal relevan dan terlibat secara aktif dalam landskap bola sepak negara — termasuk penyertaan di platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab.
"Kami menganggap tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi Sang Kenari’ — satu masa untuk memperbaiki diri, memperkukuh asas, dan bersiap sedia untuk kembali dengan lebih baik dan tersusun. Penyokong akan terus menjadi nadi penting dalam perjalanan ini," tulisnya lagi.
Selain KDA FC, sebuah lagi kelab ternama tanah air iaitu Perak FC juga gagal meraih lesen kebangsaan dengan alasan sama susulan keputusan pihak penaja enggan menyambung pelaburan dibuat sejak tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, jumlah pasukan bertanding dalam Liga Super 2025/26 tidak terjejas dengan Melaka FC, Imigresen FC dan Brunei DPMM FC akan bersaing, sekali gus menjadikan sebanyak 14 pasukan bersaing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram