
BEKAS penjaga gol Kedah Darul Aman FC yang kini menjadi jurulatih Sang Kenari, Hadi Hamid menaruh harapan agar kelab itu akan terus 'hidup' walaupun tidak berada dalam Liga Super musim depan.
Menulis di media sosialnya pada Isnin, Hadi yang sudah 20 tahun bersama Kedah baik sebagai pemain dan jurulatih masih belum putus harapan dengan kelabnya walaupun mengharungi perjalanan penuh suka dan duka.
"Tapi dengan perkembangan yang terbaharu ni, rasa sedih tapi masih berharap Kedah akan terus ada. Tak kisah di mana (liga yang disertai). Harapan bukan atas kepentingan sendiri, cuma dari salah seorang peminat setia," kata Hadi.
BACA LAGI: 'Beri peluang Perak-Kedah ganti Sri Pahang jika tak hantar pasukan hanya tambah masalah'
Penjaga gol itu bersama dengan Kedah sejak dari era skuad muda Sang Kenari menjadi sebahagian daripada alumni double treble Kedah pada era pertengahan 2000-an.
Kata Hadi, sewaktu kecil, dia seperti kanak-kanak lain akan menggunting gambar pemain kegemaran di surat khabar dan menampalnya dalam buku koleksi.
"Memang dari kecil jiwa bola ni dah ada. Kalau dulu habis gambar-gambar pemain dalam surat khabar kena gunting lepas tu dilekatkan dalam buku. Kali pertama jejakkan kaki ke Stadium Darul Aman sekitar darjah empat atau lima, waktu tu seronoknya tak terkata.
"Masa 2005, dah mula sarung jersi Kedah bagi skuad Piala Presiden. Waktu 2007, Allahyarham Azraai Khor Abdullah bawa naik ke skuad Liga Super. Masa tu adalah kenangan terindah apabila dapat menikmati double treble," ujar Hadi.
Sepanjang bersama Kedah, Hadi melihat ramai pemain yang datang dan pergi ketika kelab itu berdepan masa sukar semasa mereka terpaksa turun ke Liga Premier.
"Tapi tak semuanya manis, jatuh ke Liga Premier pada 2013 dan kami berjuang selama tiga musim. ALHAMDULILLAH pada 2016, kami naik semula ke Liga Super.
"Bermula 2020 hingga 2025, peranan berubah, dari pemain kepada jurulatih. Syukur masih lagi diberi peluang utk berkhidmat dengan Kedah," ulas Hadi.
Bagi Hadi, usaha untuk melihat Kedah terus bernyawa bukanlah kerana dia bekerja untuk kelab itu. Sebaliknya kerana cintanya terhadap kelab kesayangannya.
Walaupun dahulunya Hadi adalah seorang pemain dan kini jurulatih, dia tetaplah merupakan seorang penyokong setia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram