'MFL perlu hormati keputusan Pahang jika tak sertai liga meski miliki lesen'


  • Podium
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Meskipun Sri Pahang telah diberi lesen kebangsaan, belum ada jaminan pasukan itu akan bersaing musim depan. — Facebook/Sripahangfc

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengesahkan pemberian 13 lesen kebangsaan kepada 11 kelab Liga Super dan dua pasukan dari Liga A1 bagi saingan musim 2025.

Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat pada Khamis itu mengejutkan ramai apabila Sri Pahang FC tersenarai sebagai salah satu daripada kelab yang menerima lesen meskipun sebelum ini dilaporkan akan menarik diri daripada Liga Super musim hadapan.

Sebaliknya, dua kelab dari Utara, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC gagal dalam permohonan mereka selepas tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan oleh MFL.

BACA LAGI: Rizal Ghazali, ex LWB kongsi perasaan sayu, Sang Kenari tinggal ‘jasa jadi kenangan’

BACA LAGI: Dengarnya kembali ke pangkuan Kim Swee, bek Sabah FC ada 3 sebab wajib pilih Persis Solo

Naib juara Piala Malaysia 2024, Sri Pahang FC. Facebook/Sripahangfc

Namun begitu, pengesahan lesen kepada Sri Pahang menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong tempatan, adakah pasukan dari Pantai Timur itu benar-benar akan kembali beraksi musim depan?.

Berdasarkan ura-ura dalam kalangan penyokong, terdapat kemungkinan hal tersebut terjadi kerana isu pengurusan skuad Tok Gajah belum diselesaikan kerana tiada sumber kewangan kukuh diperolehi setakat ini.

Jika benar Sri Pahang tidak menyertai Liga Super meskipun memiliki lesen, situasi itu akan menyaksikan tiada kelab dari negeri Pahang beraksi dalam saingan bola sepak tertinggi negara, sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden Liga Malaysia.

Pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpendapat bahawa walaupun Sri Pahang telah diberi lesen kebangsaan, belum ada jaminan pasukan itu akan tampil dalam musim depan. 

"Pada awalnya saya beranggapan Pahang sudah memperoleh lesen, namun belum tentu mereka akan menghantar pasukan untuk bertanding," katanya kepada Majoriti.

Menurut beliau, pihak pengurusan Sri Pahang sedang berusaha keras untuk menghidupkan kembali kelab bersejarah itu, terutama dalam mendapatkan sumber kewangan yang kukuh dan berdaya saing.

"Saya percaya mereka bertungkus-lumus memastikan dua perkara penting, pertama, menyiapkan pasukan dan kedua, mendapatkan sokongan kewangan yang stabil sama ada melalui dana kerajaan atau penaja bagi membolehkan mereka bersaing tanpa gangguan sepanjang musim.

"Setakat ini, keperluan itu masih belum dipenuhi. Maka sebab itulah kita belum melihat sebarang pelancaran rasmi atau pengumuman besar daripada pihak kelab," jelasnya.

Pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim. 

Tambahnya lagi, walaupun lesen telah diluluskan, isu kewangan boleh menyebabkan Pahang memilih untuk tidak menghantar pasukan.

"Masih ada kemungkinan mereka tidak akan menyertai liga musim depan kerana tiada jaminan kewangan. Lesen semata-mata tidak cukup tanpa kestabilan kewangan yang kukuh," ujarnya.

Jika perkara tersebut berlaku, Zulakbal menyatakan bahawa MFL perlu menghormati keputusan kelab dan mencari alternatif untuk memastikan perjalanan liga tidak terjejas.

"Sekiranya mereka tidak dapat menghantar pasukan, tidak banyak yang boleh dilakukan. MFL sebagai penganjur perlu bertindak bijak sama ada dengan mencari pasukan pengganti atau menyusun semula jadual perlawanan.

"Jika pasukan itu memutuskan untuk menarik diri atas sebab kewangan, keputusan itu harus diterima. Tanggungjawab utama MFL adalah memastikan struktur dan kelangsungan liga berjalan lancar mengikut perancangan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah seperti kemasukan pasukan baharu atau penyesuaian jadual akan membantu liga kekal mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh badan induk seperti Persekutuan Bola Sepak Antarabangsan (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram