
PENYERANG naturalisasi skuad kebangsaan, Romel Morales tampil mempertahankan skuad Harimau Malaya susulan kenyataan sinis yang dikeluarkan oleh wartawan sukan dari Colombia, Bambino Quintero.
Quintero sebelum ini memperkecilkan Harimau Malaya apabila menyentuh tentang penyertaan penyerang America de Cali, Rodrigo Holgado yang dijangka akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan tidak lama lagi.
Wartawan berkenaan bukan sahaja melabel pasukan Malaysia sebagai skuad yang teruk, malah mendakwa ia seolah-olah tidak wujud dan menyifatkan penyertaan Holgado sebagai satu langkah yang tidak wajar.
BACA LAGI: 'Saya suka cabaran baharu', Xisco Munoz beri 'hint', kuatkan spekulasi jadi pengendali JDT
BACA LAGI: Tak mahu ketinggalan, Selangor sambar Benzema selepas JDT 'ikat' bakat muda Pulau Pinang
Mengulas kenyataan tersebut, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menegaskan bahawa bola sepak antara kedua-dua negara tidak seharusnya dibandingkan, apatah lagi dari sudut prestasi skuad kebangsaan.
“Bola sepak Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan bola sepak Colombia, termasuk skuad kebangsaannya,” ujar pemain yang menyarung jersi skuad kebangsaan pada Januari 2024 itu ketika ditemubual dalam program Super Combo del Deporte.
Tambah Morales, kehadiran Holgado sebaliknya dilihat sebagai satu nilai tambah kepada Harimau Malaya dan mampu memberi impak positif terhadap kemajuan bola sepak negara di peringkat antarabangsa.
“Kehadiran Holgado memberi kesan positif kepada kita. Ia akan membantu meningkatkan kualiti permainan dan memperkukuh pasukan dalam persaingan antarabangsa,” tambah pemain kelahiran Colombia itu.
Pemain barusi 29 tahun itu bakal menjadi pemain terbaru dari luar negara yang menyertai skuad kebangsaan Malaysia, mengikuti jejak langkah dua pemain naturalisasi lain iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero.
Dalam pada itu, memetik laporan Harian Metro, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap berkaitan Holgado sebelum berkongsi sebarang info mengaitkannya dengan skuad kebangsaan.
Romel menyarung jersi kebangsaan pada 2024. — Facebook/JDT
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru membuat pengumuman rasmi berkaitan pemain terbabit namun lebih mengambil pendekatan untuk memperoleh maklumat lebih terperinci sebelum tindakan susulan.
Beliau berkata, kehadiran Holgado yang digelar sebagai pakar gelecek sememangnya dinantikan skuad Harimau Malaya dalam usaha untuk mempertajamkan jentera serangan pasukan sepanjang tempoh kempen aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram