Legenda Harimau Malaya asal Perak, T. Gopinath Naidu meninggal dunia akibat sakit jantung


  • Podium
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Mendiang menghebuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung pada usia 51 tahun.

DUNIA bola sepak tempatan pada Sabtu dikejutkan dengan pemergian bekas pemain Harimau Malaya, T Gopinath Naidu yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 51 tahun.

Berita menyedihkan itu dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan masing-masing menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan kenalan mendiang.

"FAM mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang T. Gopinath Naidu atas pemergian bekas pemain kebangsaan, pagi tadi (Sabtu). Dia merupakan bekas pemain kebangsaan era 90-an selain pernah beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur (1992-1994) dan Perak (1996)," tulis badan induk bola sepak negara itu.

BACA LAGI: 'Kepimpinan mendiang angkat sukan boling', pemergian PS Nathan cukup dirasai

BACA LAGI: 'Bapa Dragon Ball' hidap disleksia, mendiang Akira Toriyama rupanya tak boleh menulis, membaca sejak kecil

Dia yang pernah dijulang sebagai Kuala Lumpur's Wonder Boy pernah membantu kelab Lembah Klang itu menjadi pasukan digeruni sekitar era 1990-an sebelum berkelana ke Utara tanah air.

Tidak cukup dengan itu, Gopinath Naidu turut memiliki pengalaman di luar negara dengan laporan menyatakan mendiang pernah beraksi di England buat Aston Villa serta kelab Jerman, Bayer Leverkusen.

Di pentas antarabangsa pula, mendiang pernah beraksi buat Harimau Malaya ketika Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun serta kempen prakelayakan ke Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kariernya tidak berpanjangan kerana kecederaan lutut berulang menyaksikan mendiang terpaksa menjalani 19 pembedahan yang akhirnya memaksa pemain tersebut bersara pada 1999.

Tempoh permainannya yang singkat itu tidak menghalangnya daripada meraih pencapaian cukup gemilang memandangkan dia juga sempat meraih Piala FA sebanyak dua kali, iaitu pada 1993 dan 1994. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram