
PENANG FC mencetus kejutan apabila mengumumkan pelepasan seramai 22 pemain sekali gus sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super musim 2025/2026.
Pengumuman rasmi itu dibuat menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi kelab.
Antara nama besar yang dilepaskan termasuk dua pemain import, Rodrigo Dias dan Neto Oliveira, serta tiga pemain pinjaman, Syamer Kutty (Johor Darul Ta’zim), Richmond Ankrah (Selangor FC) dan Sikh Izhan yang turut kembali ke Selangor FC.
BACA LAGI: Rizal Ghazali, ex LWB kongsi perasaan sayu, Sang Kenari tinggal ‘jasa jadi kenangan’
BACA LAGI: 'Salary cap 80 peratus', MFL perketat disiplin kewangan kelab Liga Super
Langkah itu dilihat selari dengan ramalan peminat yang menjangkakan rombakan besar-besaran dalam skuad Harimau Kumbang menjelang musim baharu dengan beberapa nama besar turut dikaitkan dengan Penang FC, antaranya Wan Zack Haikal Wan Noor.
Dengan perubahan drastik ini, Penang FC dijangka membawa masuk beberapa pemain baharu, termasuk tiga individu yang kini sedang dipantau rapi oleh pihak pengurusan untuk mengisi kekosongan pasukan.
1. Hector Hevel
Skuad Harimau Kumbang terus mencuri tumpuan menjelang musim baharu Liga Super apabila bintang warisan kebangsaan, Hector Hevel dikatakan berada dalam radar Penang FC.
Spekulasi itu mula timbul selepas laman penyokong, Penang Brotherhood sebelum ini mendedahkan bahawa Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berminat untuk mendapatkan khidmat pemain kacukan Malaysia-Belanda itu bagi memperkukuh jentera tengah pasukan.
Bintang warisan Harimau Malaya, Hector Hevel (kanan). — Instagram/h.serrano13
Namun begitu, hasrat tersebut dilihat sukar direalisasikan buat masa ini memandangkan Hevel, 28, kini merupakan pemain utama bersama kelab Portugal, Portimonense yang sedang beraksi dalam saingan divisyen kedua Liga Portugal.
Walaupun kemungkinan itu tampak tipis, minat yang ditunjukkan Penang terhadap pemain berprofil tinggi seperti Hevel jelas menunjukkan kesungguhan kelab untuk membina skuad lebih kompetitif menjelang musim 2025/2026.
2. Wan Zack Haikal Wan Noor
Jika melihat kepada gaya permainan serta pendekatan Wan Zack Haikal Wan Noor ketika ini, ada kemungkinan besar dia kini lebih mengutamakan kestabilan dalam kariernya terutama dari aspek pengurusan kelab, termasuk isu tunggakan gaji yang masih menghantui sebahagian besar pasukan Liga Super.
Dalam hal ini, Penang FC dilihat sebagai antara destinasi terbaik buat pemain sayap berpengalaman itu.
Beberapa musim kebelakangan ini, tiada laporan negatif mengenai kebajikan pemain dan barisan kejurulatihan Harimau Kumbang, menandakan pengurusan kelab yang kukuh dan bertanggungjawab.
Wan Zack Haikal dilaporkan berada dalam radar Penang FC. — Instagram/wanzackhaikalwannor
Selain itu, prestasi hambar jentera serangan Penang FC dengan hanya 31 gol dijaringkan musim ini membuka peluang untuk kehadiran pemain seperti Wan Zack.
Walaupun pasukan memiliki beberapa pemain import di barisan hadapan, ketiadaan pemain tempatan berpengalaman telah menyebabkan skuad kendalian Wan Rohaimi tampak tidak konsisten di kawasan serangan.
Sekiranya Penang FC mengemukakan tawaran rasmi, tidak mustahil Wan Zack akan menerimanya. Ia bukan sahaja memberi peluang untuk dia membantu memperkukuh pasukan, tetapi juga membolehkan dirinya menamatkan karier dalam suasana yang lebih stabil dan profesional, mungkin dalam satu hingga dua musim sebelum bersara daripada bola sepak.
3. Khairulazhan Khalid
Bekas penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid dilihat sebagai calon ideal untuk mengisi posisi utama di gawang Penang FC bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Desas-desus mengenai perpindahannya ke Harimau Kumbang semakin hangat diperkatakan, selepas laporan mendakwa Penang FC sedang berusaha mendapatkan khidmat penjaga gol berpengalaman itu sebagai sebahagian daripada perancangan memperkukuh skuad musim hadapan.
Khairulazhan meninggalkan Selangor selepas lebih sedekad berkhidmat bersama Gergasi Merah. Sepanjang tempoh itu, pemain berketinggian 1.82 meter itu memainkan peranan penting membantu pasukan muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia serta menjuarai MFL Challenge Cup.
Khairulazhan (tengah) berpeluang mengembangkan kariernya bersama Penang FC musim depan. — Facebook/Selangorfc
Sejak menyertai Selangor dari Sri Pahang FC pada tahun 2016, penjaga gol berusia 35 tahun itu telah mencatat lebih 150 penampilan, satu rekod yang mencerminkan tahap konsistensi dan profesionalismenya.
Dengan ketiadaan penjaga gol kebangsaan, Sikh Izhan Nazrel yang kembali ke Selangor, perpindahan Khairulazhan ke Penang FC dilihat sebagai langkah strategik bagi menstabilkan benteng terakhir pasukan.
Pengalaman luas yang dimilikinya dalam saingan bola sepak tempatan bukan sahaja akan memperkukuh pertahanan Penang FC, malah mampu memberi impak besar dalam usaha pasukan untuk menjadi pencabar serius dalam Liga Super musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram