
KELAB dari Brunei, DPMM FC dilihat bakal menyertai saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026, sekali gus menambah warna dan saingan dalam kancah bola sepak tempatan musim depan.
Penyertaan rasmi itu diumumkan oleh DPMM FC menerusi satu kenyataan yang turut mengesahkan kehadiran pertahanan Penang FC, Mohd Fairuz Zakaria sebagai pemain baharu pasukan tersebut.
Menerusi kenyataan sama, kelab itu turut memaklumkan bahawa pemain tempatan Brunei dan pemain Malaysia akan dikategorikan sebagai pemain tempatan dalam skuad mereka bagi musim baharu Liga Super.
BACA LAGI: Anak jati Kelantan boleh ikut jejak Elavarasan perkasa Kijang Emas
BACA LAGI: Dilepaskan Penang FC, bekas MOTM masa lawan TFC kini intai peluang bersama NSFC
“Fairuz Zakaria bersetuju untuk menyertai DPMM FC bagi musim baharu Liga Super Malaysia 2025/26. Dia merupakan pemain pertama dari Malaysia yang akan beraksi bersama pasukan ini.
"Pemain berusia 27 tahun itu merupakan tonggak utama di Penang FC musim lalu dan DPMM FC berharap dia akan terus menampilkan aksi cemerlang bersama kami,” jelas kenyataan rasmi kelab berkenaan.
Fairuz Zakaria sah menyertai DPMM FC musim depan. — Facebook
Bagaimanapun, penyertaan DPMM FC hadir di tengah-tengah ketidakpastian mengenai jumlah sebenar pasukan yang bakal bersaing musim depan apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai format dan bilangan pasukan bagi musim 2025/2026.
Jumaat lalu, Jawatankuasa First Instance Body (FIB) memaklumkan bahawa proses semakan dokumen lesen kelab-kelab yang memohon Lesen Kebangsaan masih berjalan.
Ini berikutan laporan media yang mendakwa beberapa pasukan termasuk Perak FC dan Sri Pahang FC mungkin menarik diri daripada saingan musim hadapan.
Sementara itu, DPMM FC ketika ini masih meneruskan baki aksi mereka dalam Liga Singapura (S League) dan bakal menjadi satu-satunya kelab profesional yang mewakili Brunei di pentas Liga Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram