
PENYERANG Selangor FC, Faisal Halim telah menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang, mengajarkan erti perjuangan untuk mencapai kecemerlangan pada masa depan.
Walaupun pernah menghadapi pelbagai dugaan, penyerang Gergasi Merah itu terus menyebarkan sisi positif melalui perwatakan ceria dan kelincahan yang memikat perhatian peminat bola sepak.
Tindakannya dapat dilihat dalam satu hantaran video yang dikongsikan di laman Facebook, yang mana Faisal atau lebih mesra disapa Mickey menunjukkan sikap mulia dengan mendekati seorang pemain cilik yang sedang mengalami kecederaan dalam satu kejohanan liga amatur.
BACA LAGI: [VIDEO] Dua musim bermakna bersama Sabah FC, Telmo Castanheira akhirnya tinggalkan The Rhinos
Dalam video tersebut, Faisal dilihat memberikan kata-kata semangat dengan menggalakkan anak muda itu untuk terus bangkit dan tidak mudah mengalah.
"Pemain bola kena kuat, tak boleh nangis. Nak berjaya, nak pandai, nak bagus, kita kena kuat semangat.
"Main bola memang penuh cabaran, memang sakit, memang jatuh. Tapi untuk berjaya, kita perlu kuatkan semangat. Sikit-sikit, kita bangun.
"Selagi kita mampu, selagi kita boleh bangun, kita bangun cepat. Percaya, kata-kata kita mampu mengubah segalanya," katanya.
Keprihatinan dan pesanan Faisal Halim meninggalkan kesan mendalam, menjadi kenangan yang pastinya tidak akan dilupakan oleh pemain cilik tersebut.
Tindakannya itu berjaya menarik perhatian penyokong tanah air yang merasakan sikap Faisal patut dicontohi.
"Kata-kata semangat dari Faisal Halim, semoga Faisal terus semangat dan bangkit seperti dulu," kata Mohd Mazlan.
"Main bola kena strong dan kuat semangat, abang Faisal itu sampai kena simbah asid oleh orang pun dia masih kekal bermain," kata Sephy.
"Terbaiklah Faisal, kata-kata ikhlas daripada pemain yang pernah menghadapi cabaran sebelum berjaya, takut cedera, elok main sukan lain," kata Abd Razak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram