Kali ke-3 wakil Malaysia ke Thailand, bintang muda golf negara ada resipi atasi tekanan


  • Podium
  • Khamis, 22 Mei 2025

Nik Alicia Miriam Kamil akan mewakil Malaysia ke Kejohanan Golf Junior Serantau Asia Tenggara.

KEJOHANAN Golf Jemputan Junior RSGC–SportExcel ke-10 2025 yang berakhir selepas tiga hari berlangsung bermula Selasa di The Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan untuk negara.

Dalam penyertaan ketiganya mewakili Malaysia ke Thailand, Nik Alicia Miriam Kamil membuktikan kehebatannya sebagai bintang golf muda negara dengan mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang pemain remaja paling menyerlah di rantau ini.

Walaupun tidak muncul sebagai juara dalam Kejohanan JIGS itu, pemain kelahiran Cheras, Kuala Lumpur tersebut berjaya meraih slot ke Pertandingan Golf Junior Serantau Asia Tenggara bersama dengan juara keseluruhan Kategori Lelaki umur 16 hingga 18 tahun, Joshua Lim Xhi Xing.

BACA LAGI: Bintang muda Sarawak ungguli JIGS, curi slot ke Asia

BACA LAGI: Anak jati Kelantan boleh ikut jejak Elavarasan perkasa Kijang Emas

Nik Alicia (kiri) dan Joshua Lim (kanan) akan mewakil Malaysia ke Kejohanan Golf Junior Serantau Asia Tenggara.

Pemain berusia 17 tahun itu meluahkan rasa gembira dapat kembali beraksi di Thailand, yang merupakan kali ketiganya.

Pada masa sama, Nik Alicia turut berkongsi bahawa dia telah melakukan banyak latihan dan persiapan untuk menghadapi kejohanan JIGS tersebut.

Namun, cabaran tetap datang apabila dia mencatatkan skor kurang memuaskan pada hari kedua dengan markah 80. 

"Bagi saya, hari kedua agak teruk jika dibandingkan dengan hari yang lain," katanya kepada Majoriti.

Menyentuh tentang bagaimana dia mengatasi situasi tersebut, Nik Alicia menyatakan bahawa kunci kejayaannya adalah untuk tetap tenang dan tidak terlalu memikirkan kesilapan yang sudah berlaku.

"Fokus saya adalah untuk kekal positif dan teruskan permainan seperti biasa," katanya yang menduduki tempat keempat dalam Kategori Perempuan umur 16 hingga 18 tahun.

Nik Alicia menduduki tempat keempat bagi Kategori Perempuan umur 16 hingga 18 tahun dengan 231 pukulan. 

Pemain muda itu turut mengakui bahawa aspek mental merupakan cabaran utama dalam kejohanan ini, namun dia tetap berharap untuk bermain dengan baik sepanjang berada di Bangkok nanti.

Nik Alicia juga berkongsi pengalamannya ketika mewakili Malaysia sebelum ini dan menyatakan hasrat untuk memperbaiki kelemahan yang dikesan semasa beraksi di negara jiran itu.

"Sepanjang berada di Thailand, saya berasa sangat gementar kerana pemain-pemain Thailand memang dikenali sebagai pemain hebat. Saya agak takut pada mulanya, tetapi saya cuba bertenang dan kawal perasaan.

"Salah satu kelemahan yang ingin saya perbaiki adalah kekuatan mental. Saya perlu belajar untuk kekal tenang, tidak terlalu memikirkan orang lain, dan hanya fokus pada permainan saya sendiri," jelasnya.

Bagi Kategori Perempuan menyaksikan wakil dari Singapura, Amelie Ng muncul juara dengan mengumpul 223 pukulan, manakala tempat kedua dimenangi Vichayada Reammuang dari Thailand (226 pukulan) dan ketiga milik pemain negara, Jamie Tan Huan Ying (230 pukulan).

Manakala, Kategori Lelaki pula dimenangi oleh Joshua yang melakukan 217 pukulan menewaskan Lee Shu dari Taiwan dan pemain Korea Selatan Kang Geon yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas membuat 218 pukulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram