
KEJOHANAN Golf Jemputan Junior RSGC–SportExcel ke-10 2025 melabuhkan tirainya dengan menyaksikan detik manis buat seorang bintang muda dari Sarawak yang berjaya muncul juara keseluruhan bagi kategori lelaki umur 16 hingga 18 tahun.
Pemain remaja berbakat, Joshua Lim Xhi Xing berjaya menewaskan 49 peserta lelaki dari seluruh negara dalam saingan yang berlangsung sengit selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Mei di Royal Selangor Golf Club (RSGC), Kuala Lumpur.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kebolehannya dalam arena golf junior tanah air, malah menjadi bukti kepada potensi besar pemain muda dari Bumi Kenyalang untuk bersinar di pentas lebih tinggi.
BACA LAGI: Baru berusia 20 tahun, Jeneath cemerlang pada kejohanan golf 'pentas' serantau
BACA LAGI: Anak bergaya bak golfer profesional, koleksi Armani perkenal set pakaian golf kanak-kanak
Juara keseluruhan JIGS, Joshua Lim.
Kejohanan anjuran bersama Royal Selangor Golf Club dan SportExcel berkenaan terus menjadi pentas penting dalam mencungkil bakat-bakat baharu sukan golf negara dan menyediakan pengalaman berharga kepada para peserta muda.
Mengulas lanjut mengenai kemenangan tersebut, pemain golf muda berusia 16 tahun itu sempat berkongsi pengalaman dan persediaannya untuk kejohanan tersebut.
Menurutnya, dia telah menjalani latihan intensif selama dua minggu sebelum kejohanan bagi mempertingkatkan permainan kerana sedar persaingan kali ini amat sengit.
"Sepanjang tiga hari kejohanan, saya berdepan cabaran besar, termasuk laluan padang yang mencabar serta pemain-pemain lain yang turut menunjukkan prestasi hebat. Namun, saya bersyukur kerana akhirnya berjaya merangkul kejuaraan," katanya ketika ditemui di Royal Selangor Golf Club, Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya, kemenangan itu merupakan gelaran besar pertama untuknya di luar Sarawak.
"Saya sangat gembira dan ibu bapa saya juga turut bangga. Saya lebih gembira kerana berjaya mengatasi cabaran mental, terutama pada hari terakhir yang mana saya biasanya akan ketinggalan. Kali ini saya dapat kekalkan prestasi dan konsisten hingga ke akhir," jelasnya.
Wakil dari Singapura, Amelie Ng (kiri) muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 223 pukulan.
Ketika ditanya tentang cabaran utama sepanjang kejohanan, Joshua menyatakan bahawa aspek mental merupakan halangan paling besar, selain daripada kawalan permainan.
"Saya hanya fokus pada permainan saya sendiri, satu lubang pada satu masa. Saya tidak terlalu fikirkan tentang lawan kerana saya percaya jika saya bermain seperti biasa, saya mampu menang," katanya.
Manisnya, dengan kemenangan berharga itu, Joshua akan mewakil Malaysia ke Pertandingan Golf Junior Serantau di Asia Tenggara dengan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur kejohanan.
Bagi Kategori Lelaki dimenangi oleh Joshua yang melakukan 217 pukulan menewaskan Lee Shu dari Taiwan dan pemain Korea Selatan Kang Geon yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas membuat 218 pukulan.
Manakala, Kategori Perempuan pula menyaksikan wakil dari Singapura, Amelie Ng muncul juara dengan mengumpul 223 pukulan, manakala tempat kedua dimenangi Vichayada Reammuang dari Thailand (226 pukulan) dan ketiga milik pemain negara, Jamie Tan Huan Ying (230 pukulan). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram