Lepas persoal layanan Selangor, TMJ dedah perbualan dengan Shahril Mokhtar


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Tunku Ismail (kanan) dan Shahril Mokhtar seakan-akan memiliki hubungan yang tidak diketahui ramai.

SELEPAS Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengurangkan denda terhadap Selangor FC, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Idris tampil mempersoalkan layanan terhadap kelab itu.

Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, dia menyatakan skuad Harimau Selatan pernah berdepan situasi sama, namun hanya menerimanya secara terbuka.

Tunku Ismail turut mempertikaikan pengurangan hukuman diterima pasukan Lembah Klang itu akan memberikan peluang buat kelab Liga Super yang lain untuk mengelak daripada denda dikenakan.

BACA LAGI: TMJ nafi kehadiran Kobe Jae, hanya tinggal Terengganu dan Selangor harapan pemain warisan

BACA LAGI: Penafian TMJ buka peluang kelab 3P sambar bekas striker Barcelona

WhatsApp Image 2024-06-28 at 11.01.34 AM

Tangkap layar daripada perbualan Tunku Ismail dengan Shahril Mokhtar.

'Drama' berkenaan tidak terhenti di situ apabila beberapa hantaran baharu memaparkan pemilik JDT itu berkongsi tangkap layar mengenai perbincangannya bersama Timbalan Presiden Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Salah satu topik perbualan yang dikongsikan adalah pada Mac (dipercayai tahun ini) apabila Shahril menjadi pengantara antara Tunku Ismail dan Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah.

"Salam Tuanku, patik dah sembahkan pada Raja Muda berkenaan dengan apa yang Tuanku sampaikan pada patik. Alhamdulillah, Raja Muda bersetuju untuk berdamai. Raja Muda akan hubungi Tuanku dalam masa terdekat," katanya.

Hantaran berbeza pula memaparkan Shahril menyatakan kekecewaannya terhadap sikap segelintir penyokong Selangor, namun tidak dipastikan isu yang dibincangkan.

Bagaimanapun, apa yang lebih mengejutkan adalah apabila Timbalan Presiden Selangor FC itu mempertikaikan tindakan pemainnya, Faisal Halim yang mengetik tanda suka terhadap satu hantaran di akaun Instagram Ekor Harimau Malaya.

"Ya, patik sudah periksa, Faisal Halim ada 'like' hantaran itu. Memang nak kena bantai dia ni," katanya sebelum menghantar beberapa keping tangkap layar.

Dalam hantaran tersebut, Ekor Harimau Malaya memuat naik tangkap layar berkaitan surat layang terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung salah laku badan induk bola sepak negara itu.

Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa sangsi terhadap peranan Shahril selama ini walaupun dia merupakan kem Selangor FC tetapi berhubung rapat dengan pihak JDT.

Namun, masih tidak dapat dipastikan kesahihan kesemua perbualan tersebut dengan beberapa penyokong berasakan tidak kena dengan pendedahan yang dibuat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram