
TINDAKAN seorang petinju dari Indonesia secara terbuka mencabar Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo untuk bertarung menimbulkan rasa kurang senang terhadap jaguh muay thai negara itu.
Video respons Jojo terhadap cabaran tersebut turut tular di media sosial dengan ia juga dimuat naik oleh akaun Facebook, Johan Ghazali JoJo Fans sejak Selasa.
Di dalam klip tersebut, Jojo dilihat seakan-akan berang terhadap tindakan dibuat oleh petinju yang dikenali sebagai Frans Rosefel Hutajulu.
BACA LAGI: Tubuh Naza Group pada usia 21 tahun, Allahyarham Nasimuddin kebanggaan Kuala Pilah
Difahamkan, cabaran berkenaan dibuat selepas satu acara pertarungan yang dikenali sebagai Holywings Sport Show di Indonesia.
"Tutup mulut, tak pandai cakap jangan cakap. Kau buat bising la," ujar Jojo dalam video terbabit.
Dalam pada itu, selain mengkritik cara percakapan petinju terbabit yang dilihat kurang meyakinkan, Jojo juga kurang senang dengan nama panggilan Ghazali digunakan terhadapany oleh petarung dari Indonesia tersebut.
Ini kerana Ghazali merupakan nama umum digunakan semua adik-beradiknya dengan ia dipercayai diambil sempena nama datuknya yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Allahyarham Tan Sri Ghazali Che Mat.
"Ghazali mana satu? Jojo? Miki? Mia?" tulisnya dalam video tersebut.
Setakat laporan ini ditulis, klip terbabit sudah mendapat lebih 415,000 tontonan dan 200 perkongsian.
Di ruangan komen, rata-rata daripada warganet menganggap bahawa cabaran dilontarkan oleh petinju Indonesia itu tidak lebih daripada sekadar usaha untuk meraih populariti di atas nama Jojo.
Malah menurut mereka, petinju terbabit juga disifatkan tidak berada di standard yang sepatutnya untuk bersaing dengan jaguh muay thai negara.
"Nak cepat naik itu yang main petik sahaja nak call out orang. Pastikan nak call out kalau berani, peraturan muay thai, bukan boxing atau kick boxing, baru betul nak lawan Jojo." tulis Fitri Azizi.
"Betul-betul tak reti ukur baju badan sendiri. Masuk One (One Championship) dulu baru sembang nak bertarung. Nak masuk showbiz sahaja terus nak bertarung dengan high rank punya fighter. Low iq," ujar Ismail Napi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram