
NAMA Rifdean Masdor meniti di bibir para penyokong selepas mencipta sensasi melakar kemenangan Technical Knockout (TKO) ke atas lawannya dari Laos, Nongbia LaoLaneXang dalam masa hanya 47 saat pada Jumaat.
Aksi ONE Friday Fights 107 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand berkenaan menyaksikan Rifdean mempamerkan kehebatan luar biasa apabila pertarungan ditamatkan seawal pusingan pertama.
Beberapa siri tendangan tepat ke wajah lawan memberi kelebihan awal kepada pemain yang diberi julukan ‘Magic Boy’ berkenaan, sekali gus menggugat momentum LaoLaneXang seawal beberapa saat dimulai.
BACA LAGI: [VIDEO] Jumpa Johan sebenar, Jojo belum mampu tumbangkan Estupinan di ONE Championship
BACA LAGI: Johan Ghazali perlu awasi 'comeback' Edgar Tabares di pentas ONE Championship
Meskipun lawannya cuba bangkit dengan serangan balas, segala usaha dipatahkan oleh tumbukan-tumbukan bertenaga daripada juara dunia bawah 23 tahun sebanyak tiga kali itu yang nyata berada dalam kelas tersendiri.
Apa yang menjadi tumpuan pada perlawanan berkenaan apabila aksi flying kick dilakukan Rifdean tepat mengenai muka lawannya dengan peminat rata-rata memberi komen seolah-olah sedang menonton sedutan filem kung fu.
"Ini baru dikatakan petarung sebenar belum sampai satu minit sudah menumbangkan lawannya berkali-kali," puji penyokong Malaysia, Jatt Rospon.
"Ganas, buas, tangkas, serupa harimau tak makan daging sebulan. Dah jumpa daging tak berhenti. Memang padu teruk," komen penyokong, Shape Shifter.
"Kena tendangan ala kung fu terus tewas. Mantap Rifdean," kata penyokong, Buat Apa Hari Ini.
Bukan hanya penyokong tanah air, petarung yang pernah merangkul gelaran remaja dunia 2019 itu juga masih teringat-ingat dengan momennya menumpaskan LaoLaneXang menggunakan teknik flying kick.
Rifdean menewaskan lawannya dalam masa hanya 47 saat pada Jumaat.
"Saya masih belum boleh move on lagi, dia makan tapak kaki selepas terkena flying kick. Ini kali pertama dalam sejarah pertarungan karier saya, macam cerita kung fu.
"Apapun, perjuangan saya belum habis. Jangan terlalu awal gembira dan perlawanan seterusnya saya akan buat yang terbaik, doakan," ujar Rifdean menerusi rakaman video yang dimuat naik di IG Story miliknya selepas perlawanan.
Untuk rekod, kemenangan tersebut merupakan yang ketiga daripada empat penampilan Rifdean di ONE Championship, sekali gus menjadi antara petarung muda yang menyerlah di pentas antarabangsa itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram