[VIDEO] 'Saya bukan kuda tua', Gonzalez buktikan kemampuan diri selepas 7 bulan tak beraksi


  • Podium
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Kehadiran Gonzalez (kanan) memberi manfaat besar kepada JDT dengan pengalaman luasnya beraksi di Eropah, yang disumbangkan kepada skuad Harimau Selatan. — Facebook/JDT

REKRUT baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Alvaro Gonzalez berjaya menutup mulut pengkritiknya yang menggelarnya 'kuda tua' dengan mencetak dua gol dalam penampilan sulungnya dalam Kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di New South Wales, Australia, pada Selasa.

Dua gol daripada pemain kelahiran Sepanyol itu memastikan JDT menumpaskan Central Coast Mariners 2-1 sekali gus meningkatkan harapan mereka untuk mara ke peringkat kalah mati ACLE.

Pemain berusia 33 tahun yang pernah menjadi rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr, Liga Pro Arab Saudi, muncul wira JDT selepas pasukan lawan bermain dengan 10 pemain, susulan penjaga gol mereka, Dylan Peroic-Cullen dilayangkan kad merah kerana mengasari Arif Aiman Hanapi di luar kotak penalti pada babak pertama.

BACA LAGI: Buktikan masih berbisa, Alvaro ikut jejak Bergson, 2 lagi import JDT ledak gol debut

BACA LAGI: [VIDEO] Bidoglio kongsi keadaan terkini Roque Mesa, mahu sahkan kemaraan ACL Elite di laman sendiri

Gonzalez menunjukkan prestasi cemerlang apabila membuka jaringan pada minit ke-64 sebelum menambah gol kedua pada m-79 selepas Alou Kuol menyamakan kedudukan untuk Mariners m-70.

Gonzalez berkata, ia adalah satu perasaan yang luar biasa untuk memberi impak buat JDT, sambil menambah bahawa dia terpaksa menjalani latihan selama tujuh bulan di rumah kerana tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

"Gol-gol ini sangat penting untuk pasukan ini dan juga untuk saya kerana saya hanya menjalani latihan di rumah selama tujuh bulan dan tidak bermain dalam perlawanan kompetitif.

"Latihan intensif dengan JDT selama seminggu juga banyak membantu. Saya sangat gembira kerana kelab ini memberikan saya banyak keyakinan dan kemenangan ini semestinya untuk keluarga saya dan kelab ini. Memang tidak mudah untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan JDT," katanya.

Gonzalez yang dinobatkan sebagai pemain terbaik itu juga memuji aksi cemerlang pemain sayap JDT, Arif Aiman dan Afiq Fazail.

"Gaya permainan yang diterapkan oleh jurulatih kami, Hector Bidoglio juga mirip dengan gaya permainan di Sepanyol," tambahnya.

Aksi tersebut merupakan kemenangan pertama JDT di tempat lawan dalam ACLE, dan pemain-pemain perlu kekal fokus untuk perlawanan penutup Kumpulan A menentang Pohang Steelers dari Korea Selatan pada 18 Februari di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

JDT kini berada di tangga kelima carta dengan 11 mata selepas tujuh perlawanan dan hanya lapan pasukan terbaik yang layak ke pusingan 16. — The Star/LIM TEIK HUAT

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram