
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan denda mencecah $24,000 (kira-kira RM103,103) kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas penyokong kelab itu membaling botol ke arah penjaga garisan.
Kesalahan itu dilakukan dalam pertembungan kedua skuad Harimau Selatan dengan kelab Thailand, Buriram United di peringkat 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Mac lalu.
Perkara tersebut dikongsikan menerusi laman Facebook Asean Football pada Sabtu dengan penjaga garisan bertugas, Abdulhadi Al-Enezi menjadi mangsa berikutan kekalahan kelab Liga Super berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] AFC sudah terima laporan, pandang serius insiden baling botol JDT-Buriram United
BACA LAGI: JDT mungkin terpaksa beraksi tanpa penonton angkara kes baling botol
"AFC mengenakan denda sebanyak $24,000 (RM103,103) ke atas JDT susulan tingkah laku tidak wajar oleh penyokong semasa aksi kedua pusingan 16 ACL Elite 2024/25 menentang Buriram United pada 11 Mac lalu,” tulisnya.
Dalam perlawanan itu, penyokong skuad Harimau Selatan berang dengan keputusan penjaga garisan tersebut yang membatalkan jaringan minit akhir Jorge Obregon untuk membawa aksi ke masa tambahan.
Namun, semakan ulang tayang perlahan mendapati pendirian Abdulhadi itu tepat, sekali gus menyaksikan impian JDT melangkah ke peringkat suku akhir ACL Elite tidak kesampaian.
Selangor FC juga tidak terkecuali daripada hukuman AFC musim ini.
Ini bukan kali pertama kelab Liga Super dikenakan denda musim ini selepas Selangor FC turut mengalami nasib sama oleh AFC berikutan kegagalan mengawal tingkah laku penyokong.
Insiden berlaku semasa aksi peringkat kumpulan ACL Two antara pasukan itu dengan Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 23 Oktober lalu.
Pemain tengah JDT, Natxo Insa juga pernah mengalami hukuman dari badan induk bola sepak Asia tersebut selepas membuat kritikan terbuka terhadap mutu pengadilan selepas pertembungan antara pasukannya dengan Gwangju FC.
Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendesak bintang warisan negara itu membayar denda $5,000 (kira-kira RM22,500) dengan hukuman terbabit diterima secara terbuka olehnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram