Fans Malaysia baik hati, mohon tukar pengadil sebelum tamatkan badi 34 tahun jumpa Thailand di final


  • Podium
  • Ahad, 18 Mei 2025

Malaysia akan menentang Thailand pada final regu berpasukan di pentas final Piala Astaf pada Ahad.

MALAYSIA berkesempatan untuk menamatkan kemarau 34 tahun kejuaraan ke atas Thailand dalam acara regu berpasukan selepas kedua-duanya akan bertemu di pentas final Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) dalam kategori itu pada Ahad.

Pada perlawanan separuh akhir menentang India di sebelah pagi di Stadium Titwangsa, Kuala Lumpur, pasukan bimbingan Ahmad Jais Baharun menundukkan India menerusi keputusan 2-0.

Gandingan regu pertama, Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (pengumpan), Azlan Alias (perejam) memberi kemenangan 15-8 kepada Malaysia pada set pertama permainan.

BACA LAGI: Dapat rehat secukupnya sebelum ke final, Malaysia mudah tewaskan India

BACA LAGI: Tak sempat 'mandi peluh' tewaskan Nepal, Ahmad Jais masih belum puas prestasi regu takraw kebangsaan

Manakala, set kedua Malaysia pula menjadikan permainan bertambah mudah apabila merekodkan kemenangan 15-6 ke atas India.

Memasuki permainan kedua, Jais Baharun menurunkan gandingan Haziq Nizam sebagai tekong dan Farhan Adam sebagai apit kiri dan Noraizat Nordin di bahagian kanan.

Keputusan permainan seperti ulangan skuad pertama, pasukan kedua pasukan tuan rumah turut merekodkan kemenangan 15-8 untuk set pertama mereka.

Permainan di set kedua menjadi lebih mudah untuk Malaysia apabila mereka mencatat kemenangan 15-5 ke atas India.

Meskipun merekodkan kemenangan mudah, sebahagian penyokong Malaysia bagaimanapun menyuarakan kebimbangan mereka mengenai mutu pengadilan apabila ada beberapa keputusan dilihat menyebelahi pasukan tuan rumah.

“Tahniah pasukan Malaysia tapi kalau boleh pengadil challenge itu bukan orang Malaysia kot. Ada beberapa keputusan nampak bias,” pendapat penyokong sepak takraw tanah air, Muhammad Sarizal Zakariah.

“Harap pengadil lebih bertindak sewajarnya nanti. Risau nampak berat sebelah pula,” komen penyokong sukan bola rotan, Faiz Rusdi.

Kali terakhir skuad negara menjuarai acara berpasukan ialah pada Sukan SEA Manila 1991, menjadikan pertembungan akhir menentang Thailand kali ini sebagai misi bersejarah untuk mengakhiri kemarau lebih tiga dekad.

Terdahulu, Malaysia turut mencipta kejayaan berganda apabila muncul juara dalam acara kuadran dan regu pada edisi sulung kejohanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram