
BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan status mereka selaku pilihan utama kejohanan apabila berjaya merangkul gelaran pertama tahun ini pada Kejohanan Terbuka Thailand yang berlangsung pada Ahad.
Pasangan nombor 4 dunia itu menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeong Na-eun-Lee Yeon-woo dengan keputusan 21-16, 21-17 dalam masa 57 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok, sekali gus menjuarai kejohanan bertaraf Super 500.
Sebelum ini, Pearly-Thinaah pernah menewaskan pasangan yang sama dalam pertemuan sulung mereka pada pusingan kedua Masters Orleans, Mac lalu.
BACA LAGI: Pearly-Thinaah masih belum sain kontrak, BAM tak mahu 'wabak' pemain ugut dengan wang merebak
BACA LAGI: Kami dah labur banyak, harap Pearly-Thinaah kekal — BAM
Kejayaan di Thailand itu merupakan gelaran Super 500 kedua buat pasangan negara itu, selepas kemenangan mereka di Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.
Trofi itu turut menambah koleksi kejayaan Pearly-Thinaah yang kini merangkumi Terbuka Hong Kong, Terbuka Switzerland 2021 dan Terbuka Perancis 2022.
Untuk rekod, gelaran Terbuka Perancis merupakan pencapaian terbesar dalam karier mereka setakat ini kerana ia merupakan kejohanan bertaraf Super 750. — The Star/S. SAKTESH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram