Kami dah labur banyak, harap Pearly-Thinaah kekal — BAM 


  • Podium
  • Rabu, 16 Apr 2025

Pearly-Thinaah mungkin meninggalkan persatuan untuk menjadi pemain profesional bebas.

'TERUSKAN bersama dan menangi pingat untuk negara' 

Demikian mesej daripada Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang masih belum memperbaharui kontrak mereka dengan badan induk kebangsaan itu.

Terdapat khabar angin bahawa pasangan beregu wanita nombor lima dunia itu sedang berunding dengan penaja di luar BAM dan mungkin meninggalkan persatuan untuk menjadi pemain profesional bebas.

BACA LAGI: Misi buru gelaran di Vietnam, prospek badminton negara teruja berganding pemain veteran

BACA LAGI: Diberi kepercayaan ubah nasib Aaron-Wooi Yik, Herry ucap terima kasih kepada BAM

Namun begitu, Subramaniam tetap optimis bahawa pasangan berkenaan akan membuat keputusan untuk kekal bersama BAM.

"Memang benar bahawa Pearly-Thinaah masih belum menandatangani kontrak baharu dengan kami," kata Subramaniam.

"Kami masih dalam proses perbincangan, jadi ini hanya soal masa untuk diselesaikan.

"Namun, tiada tempoh masa yang ditetapkan lagi (bagi mereka membuat keputusan). Kami juga memberikan sedikit ruang kepada mereka untuk berfikir dengan teliti. Tetapi mereka masih bersama kami," katanya. 

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam.

Dalam pada itu, Subramaniam turut menyatakan bahawa BAM telah banyak melabur dalam pasangan tersebut dan berharap mereka akan membalas jasa persatuan.

"Tujuan kami melabur dalam pemain sejak usia muda adalah supaya mereka kekal di sini. 

"Kami telah melabur di peringkat negeri untuk membangunkan pemain dan terus menjaga mereka dengan baik selepas mereka menyertai BAM.

"Kami telah melaburkan sejumlah wang yang besar dan harapan kami ialah agar mereka terus kekal, berusaha keras dan memenangi pingat untuk negara," kata Subramaniam. — The Star/R. KIRUBASHINI

    Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram