Dapat rehat secukupnya sebelum ke final, Malaysia mudah tewaskan India


  • Podium
  • Ahad, 18 Mei 2025

Antara aksi menarik yang dipamerkan oleh regu negara tanah air menentang India pada Ahad.

SKUAD regu berpasukan Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Kejohanan Piala Sepak Takraw Asia (ASTAF) dengan menundukkan India menerusi keputusan 2-0 bagi aksi kedua separuh akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad. 

Gandingan regu pertama, Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan (pengumpan), Azlan Alias (perejam) memberi kemenangan 15-8 kepada Malaysia pada set pertama permainan.

Manakala, pasukan pelawat pula menurunkan Wahengbam Henary (tekong), Ram Kumar (pengumpan) dan Bobby Kumar diletakkan sebagai perejam bagi skuad pertama mereka.

BACA LAGI: Tak sempat 'mandi peluh' tewaskan Nepal, Ahmad Jais masih belum puas prestasi regu takraw kebangsaan

BACA LAGI: Kualiti servis makin padu, Malaysia mudah benam Brunei acara berpasukan

Servis-servis yang dilakukan Syahir memberi banyak sumbangan kepada Malaysia untuk mendapatkan mata. Set kedua Malaysia menjadikan permainan lebih mudah apabila merekodkan kemenangan 15-6 ke atas India.

Berdasarkan rumusan perlawanan, kemenangan Malaysia untuk aksi pertama diperoleh daripada tujuh servis dan 13 rejaman yang kebanyakannya disempurnakan oleh Azlan.

Memasuki permainan kedua, pengendali regu berpasukan iaitu Jais Baharun menurunkan gandingan Haziq Nizam sebagai tekong dan Farhan Adam sebagai apit kiri dan Noraizat Nordin di bahagian kanan.

Untuk pasukan bimbingan B.A Sharma pula menurunkan Arun (tekong), Sorokhaibam Malemnganba sebagai pengumpan dan perejam terkenal mereka iaitu Yumnam Akash bermain untuk skuad kedua.

Keputusan permainan seperti ulangan skuad pertama, pasukan kedua pasukan tuan rumah turut merekodkan kemenangan 15-8 untuk set pertama mereka.

Permainan di set kedua menjadi lebih mudah untuk Malaysia apabila mereka mencatat kemenangan 15-5 ke atas India.

Pada set kedua pula. gandingan Haziq, Farhan dan Noraizat membantu Malaysia mendapat mata daripada enam servis dan 13 rejaman serta mendapatkan satu mata daripada hadangan mereka.

Dengan perlawanan yang hanya menggunakan dua skuad itu, Malaysia mempunyai rehat yang panjang untuk menghadapi Thailand di pusingan final pada pukul 4 petang nanti di venue sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram