
KEJOHANAN Pickleball Antarabangsa Skechers kembali dengan lebih meriah tahun ini apabila lebih 600 peserta tempatan dan antarabangsa berhimpun di venue baharu iaitu Pickle Depot, Sentul, Kuala Lumpur untuk edisi Malaysia yang dianggap paling istimewa setakat ini.
Kejohanan yang berlangsung hanya seminggu selepas pembukaan rasmi Pickle Depot berkenaan menandakan permulaan yang signifikan bagi gelanggang khusus pickleball yang pertama seumpamanya di negara ini.
Skechers yang merupakan penganjur kejohanan menyatakan bahawa ini adalah tahun ketiga mereka menganjurkan kejohanan tersebut, namun sambutan kali ini menunjukkan perkembangan luar biasa dari segi jumlah peserta dan tahap permainan.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya tiada masa untuk tunggu', Syazwan Andik sah tinggalkan Sri Pahang
BACA LAGI: Lepas Sikh Izhan-Richmond, 3 lagi bintang Selangor boleh sarung sekejap jersi Penang
Pengurus Besar Kanan Skechers Malaysia, Stephanie Chang berkongsi bahawa kira-kira sebanyak 618 peserta dari 13 negara tahun ini dengan ia merupakan satu peningkatan ketara apabila edisi 2024 dianggarkan kira-kira lebih 200 peserta sahaja.
"Tahun ini sangat istimewa kerana kita melihat lonjakan besar dalam penyertaan serta tahap persaingan. Kebanyakan pemain kini memiliki skor DUPR (Dynamic Universal Pickleball Rating).
"Ia menunjukkan profesionalisme yang semakin tinggi dalam kalangan pemain tempatan," katanya kepada Majoriti pada Majlis Perasmian Kejohanan Pickleball Antarabangsa Skechers Edisi 2025.
Tambahnya, kejohanan pertama sudah diadakan pada 2023 dan merupakan antara pertandingan pickleball berskala besar yang terawal dianjurkan di Malaysia.
Sejak itu, minat masyarakat tempatan mahupun luar negara terhadap sukan berkembang pesat, termasuk dalam kalangan pelbagai kumpulan umur dari bawah 19 tahun hingga ke kategori veteran lebih 50 tahun.
Pengurus Besar Kanan Skechers Malaysia, Stephanie Chang.
Meskipun belum disepadukan dalam siri kejohanan serantau, penganjur optimis untuk mengembangkan jaringan pertandingan ke negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Vietnam pada masa akan datang.
"Sekarang kami belum pergi ke kejohanan lain. Kami dalam perancangan mahu membuat siri kejohanan tapi saya tidak dapat membuat pengumuman. Tetapi, semua syarikat saudara kami di Singapura, Thailand dan Vietnam, mereka mempunyai kejohanan yang boleh dipilih mereka sendiri.
"Tahun ini untuk kita kejohanan sudah habis. Harap-harap kita dapat melakukan sesuatu tahun depan," jelasnya.
Majlis pembukaan dan perasmian kejohanan turut diserikan dengan kehadiran selebriti dan usahawan terkenal tanah air iaitu Amelia Henderson, yang juga merupakan rakan kongsi utama Pickle Depot.
Malah Amelia meluahkan rasa bangga apabila tempatnya menjadi tuan rumah kejohanan tersebut.
"Ini adalah pertandingan pickleball antarabangsa, edisi Malaysia 2025 di Pickle Depot dan kami sangat berbangga menjadi tuan rumah.
"Walaupun kami baru dibuka seminggu, menerima kejohanan pertama berskala besar adalah satu pencapaian luar biasa. Ia menunjukkan komitmen kami terhadap pembangunan sukan ini di Malaysia," kata pelakon kelahiran Malaysia-Britain itu.
Bukan hanya bandwagon, Amelia Handerson mahu sukan pickeball berkembang positif di Malaysia pic.twitter.com/ej2vsJstK7
— rahmieeee (@rahmi_jono) May 16, 2025
Dalam pada itu, Amelia turut menegaskan bahawa penubuhan fasiliti tersebut bukan sekadar mengikuti trend semasa, sebaliknya sebagai usaha untuk menyokong ekosistem sukan yang semakin berkembang.
"Kami tidak ikut bandwagon. Kami wujud untuk menyokong peminat dan pemain sukan ini secara jangka panjang. Kami mahu mencipta ruang yang berkualiti tinggi untuk pembangunan pickleball di Malaysia," jelas Amelia lagi.
Dengan sambutan hangat tahun ini, Pickle Depot menyatakan komitmen untuk terus menjadi venue rasmi bagi edisi Skechers akan datang, serta membuka pintu kepada lebih banyak kejohanan dan aktiviti komuniti dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram