[VIDEO] Aksi Pahang-Selangor 'panas', sikap gentleman Ayon bukti orang lama berhati kering 


  • Podium
  • Isnin, 05 Mei 2025

Antara aksi Ayon menentang Pahang Rangers pada Sabtu. — Facebook/Selangor Futsal

PERLAWANAN minggu keenam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) melibatkan Pahang Rangers FC dan Selangor FC dicemari beberapa insiden panas sebelum menyaksikan pasukan tuan rumah menang tipis 6-5 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang pada Sabtu. 

Jaringan Pahang Rangers dihasilkan oleh Akmarulnizam Mohd Idris pada minit ke-4 diikuti Filipe De Souza (m-17&18), Moura Babista (m-32), Muhammad Razin A Rahim (m-39) dan Ahmad Harith Naim Mohd Nasir (m-39).

Manakala, pasukan pelawat pula memperolehi jaringan daripada penyerang import iaitu Dos Santos Campus Vitor yang menyumbang empat gol pada minit ke 18, 20, 24 dan 40. Satu lagi diperolehi daripada Syahir Iqbal Khan Akhbar Khan pada minit ke-31. 

BACA LAGI: Kempen MPFL makin mencabar, bekas tonggak Sabah jadi pilihan Pahang Rangers

BACA LAGI: Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL

Kemenangan berkenaan sekali gus melonjakkan skuad kendalian Luis Fonseca tersebut di kedudukan kedua liga dengan 15 mata, tiga mata meninggalkan Selangor. Manakala, Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal menerajui MPFL dengan 18 mata. 

Menerusi video yang tular di media sosial baru-baru ini, kekecohan berlaku difahamkan berbaki sebelum dua saat wisel penamat dibunyikan dan mereka terpaksa ditenangkan dengan bantuan polis bantuan. 

Seorang penyokong futsal tanah air, Syed Ahmad Muhsin juga berkongsi pengalamannya apabila menceritakan ia bermula apabila penjaga gol Pahang Rangers FC, Afiq Abd Rahman berjaya menafikan percubaan satu lawan satu oleh Vitor .

"Afiq kelihatan kesakitan, kemudian Vitor pula mengerang kesakitan, kononnya disebabkan oleh tindak balas Afiq. Ketika itu Rangers sedang melancarkan serangan balas, pengadil tidak meniup wisel kerana memang tiada apa kekasaran pun yang berlaku.

"Hamdin Zarif menolak bola kepada Felipe (De Souza), Felipe mencari Moura di sisi. Moura bijak melakukan hantaran yang tertampan masuk oleh pertahanan import Selangor. Gol penyamaan buat tuan rumah. Sukpa bergegar dengan sorakan gol, tambahan pula suasana yang sedang panas. 

"Seperti biasa, pemain pertama yang marah ialah penjaga gol kebangsaan dan Selangor, Syawal pemain pertama meluru kepada pengadil, sebelum keadaan bertambah huru hara bila kesemua pemain dan barisan kejurulatihan menyerbu masuk.

"Keadaan tegang. Akhirnya semua dileraikan, tiada layangan kad dan kesalahan diberikan oleh pengadil kepada semua yang terlibat. Gol kekal dikira. Saat itu, perlawanan kekal panas, dan kedua-dua pasukan memilih untuk berbalas serangan dengan ‘powerplay’. 

"Indah taktikal buat keduanya, namun kelebihan mental sedikit memihak tuan rumah. Rangers menang. Tamat perlawanan pembantu jurulatih Selangor mengarahkan semua pemain masuk tanpa bersalam," katanya. 

Arahan pembantu jurulatih Selangor itu bagaimanapun diendahkan oleh kapten Selangor,  Khairul Effendy Bahrin atau lebih mesra dengan sapaan Ayon yang bertemu dan bersalam dengan pemain-pemain Pahang Rangers. 

Tindakan pemain berusia 38 tahun itu meraih pujian daripada penyokong futsal negara susulan Ayon masih menunjukkan sikap hormat dengan bekas rakan sepasukannya walaupun tewas tipis di tangan Pahang Rangers. 

Sepanjang kariernya, Ayon pernah beraksi bersama beberapa pasukan, termasuk Pahang Rangers selain berpeluang melebarkan sayapnya di Liga Futsal Pro Indonesia dengan SKN FC Kebumen pada 2018.

Sentuhan Ayon masih didamba meskipun usianya kini melangkau 38 tahun. — Facebook/Selangor Futsal

Di samping itu, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Diploma Sains Sukan itu juga pernah diangkat sebagai tonggak skuad futsal negara buat beberapa tahun.

Antara pencapaian pernah diraihnya adalah apabila membantu skuad kebangsaan membawa pulang pingat perak Sukan SEA 2017 di samping dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan Futsal AFF 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram