
SEPANJANG dua musim beraksi dalam arena bola sepak tanah air, Lucas Silva yang merupakan penyerang import Brazil pernah meninggalkan kesan cukup besar, terutamanya bersama Penang FC.
Ini kerana selama semusim bersama skuad Harimau Kumbang, pemain itu mencatatkan 11 gol dan satu bantuan jaringan daripada 15 penampilan dalam semua pertandingan domestik.
Sumbangan tersebut menyaksikannya amat diminati penyokong kerana kehadirannya sedikit sebanyak mengisi kekosongan ditinggalkan seorang lagi penyerang import, Casagrande.
BACA LAGI: 'Siapa cepat dia dapat', 3 kelab 'tumpul' boleh sambar Lucas Silva bulan depan
BACA LAGI: Lucas Silva sia-siakan peluang tebus karier, digesa lekas tinggalkan Sri Pahang
Lucas Silva gagal mencatatkan sebarang jaringan sepanjang beraksi buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, kisah berbeza disaksikan pada musim berikutnya apabila Lucas Silva memilih untuk tidak kekal di Pulau Mutiara dan menyertai kelab Pantai Timur, Sri Pahang FC.
Perpindahan itu pada awalnya menerima respons baik daripada pengikut skuad Tok Gajah yang teruja melihat gandingannya di samping seorang lagi rekrut baharu, Kpah Sherman.
Namun, harapan tersebut tidak kesampaian kerana Lucas Silva hanya mencatatkan lapan penampilan akibat masalah kecederaan dengan dia tidak menjaringkan sebarang gol sepanjang tempoh terbabit.
Sumbangan mengecewakan itu menyaksikan dia diletakkan dalam senarai import gagal buat Sri Pahang FC sehingga membuatkan penyokong meminta agar pihak pengurusan menunjukkannya jalan keluar segera.
Rekod mengecewakan itu menyaksikan penyerang tersebut mengambil keputusan meninggalkan Liga Super dan berkelana ke Hong Kong untuk menyertai Tai Po yang pernah disertainya pada 2016.
Lucas Silva (kiri) merupakan tonggak utama Tai Po FC ketika ini. — Agensi
Penghijrahan pemain berusia 34 tahun tersebut jelas membuahkan hasil kerana dia berjaya kembali menemui sentuhan jaringannya yang diteruskan sehingga ke musim ini.
Berdasarkan statistik semasa, Lucas Silva kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Perdana Hong Kong dengan 13 gol direkodkan dalam 16 penampilan setakat ini.
Catatan cemerlang tersebut menyaksikannya berada di hadapan pencabar lain, termasuk Everton Camango yang beraksi buat Lee Man serta peledak Eastern FC, Noah Baffoe yang kedua-duanya merekodkan 12 gol.
Lebih membanggakan lagi, sumbangan membanggakan daripada bekas tonggak skuad Harimau Kumbang itu sekali gus meletakkan Tai Po FC di tangga teratas dengan dua mata dibezakan berbanding Eastern FC.
Sekiranya prestasi itu diteruskan, Tai Po FC berpeluang menamatkan penantian muncul juara Liga Perdana Hong Kong buat kali pertama sejak 2018/19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram