
BEKAS Ketua Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak terus mengukuhkan reputasinya sebagai salah seorang jurulatih paling berjaya di Asia Tenggara apabila membimbing Persib Bandung menjuarai Liga 1 Indonesia untuk dua musim berturut-turut dengan penuh bergaya.
Meskipun meraih kejayaan cemerlang, Hodak tidak menafikan bahawa saingan di Liga Indonesia jauh lebih mencabar.
“Liga di sini tidak seperti di Malaysia yang dikuasai oleh satu pasukan. Di sini, sesiapa sahaja boleh mengalahkan sesiapa. Kami sendiri pernah kehilangan mata kepada pasukan dari kelompok pertengahan dan bawahan liga.
“Perjalanan juga satu ujian besar, nak ke Papua sahaja boleh ambil masa 11 hingga 12 jam. Di Malaysia, perjalanan paling jauh pun hanya sekitar dua jam ke Malaysia Timur,” jelasnya.
BACA LAGI: Jodoh berakhir di JDT, Ruo Han berpotensi ikut jejak Safawi Rasid ke NSFC
BACA LAGI: Dari padang bola ke kandang lembu, bek kanan JDT selesa ceburi bidang penternakan
Jurulatih berusia 54 tahun dari Croatia itu memulakan kerjaya sebagai Ketua Jurulatih di Malaysia bersama UPB-MyTeam pada 2006.
Sejak menyertai Persib pada pertengahan 2023, dia berjaya mengubah wajah pasukan menjadi sebuah kuasa besar dalam bola sepak Indonesia.
Ketika Hodak tiba, Persib berada di tangga ke-16 liga, namun kehadirannya menjadi titik kebangkitan luar biasa apabila mereka melonjak ke tempat kedua musim biasa dan mara ke Final Championship Series sebelum membelasah Madura United dengan agregat 6-1.
Pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak (kiri). — Facebook/Persibbandung
Musim ini, dengan format liga kembali kepada sistem satu pusingan penuh tanpa aksi play-off, Persib muncul juara dengan empat perlawanan berbaki, satu pencapaian yang menonjolkan dominasi mereka.
Dengan hanya dua perlawanan berbaki, Persib mengumpul 65 mata daripada 32 perlawanan, lapan mata di hadapan pencabar terdekat, Dewa United.
Apabila ditanya rahsia kejayaannya, Hodak dengan nada bersahaja menjawab, mungkin saya cuma bertuah. Namun setelah dikenalpsti jelas bahawa kejayaan Hodak bukan sekadar bergantung kepada nasib.
“Saya akan ulang, nasib itu sebahagian daripada hidup. Saya sendiri ada kepercayaan tertentu, tetapi dalam bola sepak dan kehidupan, perkara paling penting ialah pengurusan manusia.
“Kalau anda tak mampu memimpin satu kumpulan untuk ikut anda, anda takkan capai apa-apa. Mereka perlu bekerjasama dan menjadi seperti keluarga. Hanya selepas itu kecergasan dan taktikal memainkan peranan,” katanya, yang pernah melatih Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dan KL City.
Para pemain KL City meraikan kejayaan mereka merangkul trofi Piala Malaysia 2021. — Facebook
Menariknya, Hodak menjadikan skuad The City Boys sebagai contoh kejayaan yang dibina atas semangat dan perpaduan pasukan.
“Kami mempunyai bajet yang kecil, persediaan yang unik tapi setiap pemain sanggup berjuang untuk satu sama lain. Itulah cara kami menjuarai Piala Malaysia 2021 dan mara ke final Piala AFC pada 2022.
“Situasinya hampir sama di Bandung. Sewaktu saya datang, bilik persalinan berpecah-belah. Saya bawa falsafah saya, tukar beberapa pemain dan inilah hasilnya.
"Jangan rumitkan bola sepak. Kekalkan kesederhanaan dan fokus untuk menang setiap perlawanan," ujarnya.
Menurutnya lagi, sesetengah padang latihan dan stadium masih memerlukan penambahbaikan, walaupun banyak peningkatan telah berlaku sejak penganjuran Piala Dunia Bawah-17.
Hodak turut melihat potensi besar dalam bakat muda Indonesia, namun mengingatkan bahawa jurang antara pemain muda dan senior masih ketara.
“Bakat itu memang ada, tapi mereka perlu bekerja keras untuk menembusi pasukan utama," jelasnya. — The Star/T.Avineshwaran
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram