
NOTTINGHAM Forest menandakan satu momen bersejarah baharu selepas menamatkan penantian 29 tahun untuk melangkah ke pentas Eropah setelah mencatatkan keputusan seri ke atas Leicester City FC pada Ahad.
Ini selepas kelab tersebut mengukuhkan tempat dalam kelompok tujuh teratas dengan mereka berpeluang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) atau Liga Europa UEFA (UEL) musim depan.
Namun, momen menggembirakan itu dicemari satu insiden hangat apabila pemilik kelab, Evangelos Marinakis bertikam lidah dengan pengurus, Nuno Espirito Santo selepas perlawanan.
BACA LAGI: Kecederaan bintang Nottingham Forest rahmat buat Man United
BACA LAGI: [VIDEO] Baru main 7 minit, bintang Nottingham Forest rehat panjang lepas patah kaki
Berdasarkan sebuah video tular, usahawan kelahiran Greece itu berdepan jurulatih kelahiran Portugal berkenaan di atas padang dengan kedua-dua mereka kelihatan bertegang urat sepanjang perbualan.
Ramai beranggapan situasi itu berpunca daripada kegagalan meraih kemenangan yang akan membantu Forest melayakkan diri ke UCL kerana mereka kini berada satu mata di belakang Chelsea untuk tempat ke kejohanan berprestij berkenaan.
Bagaimanapun, Nuno tampil menjelaskan situasi berkenaan dengan menyatakan pertikaian kedua-dua mereka berlaku selepas barisan kejurulatihan gagal mengeluarkan pemain gantian, Taiwo Awoniyi yang mengalami kecederaan.
"Terdapat kecelaruan berhubung keadaan pemain itu. Agak sukar rasanya untuk melihat pemain yang memiliki keyakinan meledak jaringan dalam tempoh 10 minit. Kami sudah melakukan penggantian dan terpaksa bermain dengan kurang pemain, ia mencetus keresahan," katanya.
Awoniyi (bawah) mengalami kecederaan kira-kira lima minit selepas dibawa masuk. — Agensi
Dalam perlawanan berkenaan, Awoniyi yang dimasukkan pada minit ke-83 mengalami kecederaan selepas cuba menampan masuk hantaran Anthony Elanga, namun badannya mengenai tiang gol.
Penyerang tersebut kemudian kekal di atas padang kerana Nottingham tidak lagi memiliki slot penggantian, namun dia gagal memberi impak selepas kelihatan tidak selesa sepanjang tempoh terbabit.
Kesukaran dalam 10 minit terakhir itu menyaksikan Forest hanya mencatatkan keputusan seri 2-2 ke atas Leicester City FC, sekali gus menyaksikan mereka kekal di tangga ketujuh dengan hanya dua perlawanan berbaki.
Skuad bimbingan Nuno tersebut masih berpeluang berada dalam kelompok lima pasukan teratas musim ini sekiranya mencatatkan kemenangan dalam dua aksi berbaki ke atas West Ham United dan Chelsea.
Tetapi, sekali pun mereka gagal berbuat demikian, pencapaian dicatatkan Nottingham Forest perlu dibanggakan kerana mereka pada musim terdahulu bergelut dalam zon penyingkiran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram