Mudah mara ke final UEL, plaster tangan Amorim undang tanda tanya


  • Podium
  • Jumaat, 09 Mei 2025

Amorim sudah tentu bangga akan karakter anak-anak buahnya yang memastikan kemenangan dalam aksi di laman sendiri. — Agensi

MANCHESTER United akhirnya menarik nafas lega selepas melangkah ke pentas akhir Liga Europa UEFA (UEL) selepas menundukkan Athletic Bilbao menerusi agregat 7-1 di pusingan separuh akhir.

Ini termasuk kemenangan 4-1 ketika pertembungan kedua di Stadium Old Trafford pada Jumaat dengan Mason Mount meledak dua gol sementara Casemiro serta Rasmus Hojlund turut berada dalam senarai penjaring.

Namun, skuad The Red Devils terlebih dahulu mengalami kegusaran dalam aksi di laman sendiri selepas gawang mereka lebih awal dibolosi pada minit ke-31 menerusi Mikel Jauregizar.

BACA LAGI: Tak cukup yakin benam Bilbao, Amorim anggap Man United kerap 'hilang akal'

BACA LAGI: Jika hanya mahu main UCL, jangan datang ke Man United — Ruben Amorim

Skuad The Red Devils bangkit untuk menundukkan Athletic Bilbao dengan keputusan 4-1 di laman sendiri. — Agensi

Kesilapan benteng pertahanan sememangnya memberi tekanan buat Manchester United yang perlu melangkah ke pentas final selepas musim mengecewakan di peringkat domestik.

Jadi, tidak mustahil sekiranya pengurus pasukan, Ruben Amorim tampil menyuntik semangat buat anak-anak buahnya ketika rehat separuh masa pertama dalam bilik persalinan supaya kelebihan aksi pertama tidak disia-siakan.

Tetapi, persoalan mula memenuhi ruangan media sosial selepas orang ramai menyedari pengendali dari Portugal itu menampal plaster luka di tangan kiri sepanjang babak kedua permainan.

Perkara tersebut membuatkan peminat beranggapan Amorim secara tidak sengaja mencederakan diri sendiri ketika sibuk memberi kata-kata semangat kepada pemain Manchester United.

Amorim menampal plaster di tangan kiri sepanjang minit kedua permainan. — Agensi

Ini kerana semasa kekalahan pasukannya kepada Brighton & Hove Albion pada Januari lalu, jurulatih berusia 40 tahun berkenaan difahamkan melepaskan amarah sehingga merosakkan televisyen dalam bilik persalinan.

Bagaimanapun, bekas pengurus Sporting CP itu tampil meminta maaf dan berjanji situasi sedemikian tidak akan berulang kerana kegagalan mengawal emosi memberi gambaran mengenai tahap profesionalisme seseorang.

Tetapi, sekiranya sikap tersebut berulang, ia pastinya membuahkan hasil kerana ia menyuntik semangat buat skuad The Red Devils yang bangkit daripada ketinggalan menerusi jaringan Mount pada minit ke-72.

Dalam perlawanan akhir UEL 2024/25, Manchester United bakal berdepan sebuah lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur yang layak selepas menyingkirkan kelab Norway, Bodo/Glimt menerusi agregat 5-1.

Kedua-dua pasukan bakal bertembung di Stadium San Mames, Sepanyol pada 22 Mei akan datang dengan kejayaan di pentas Eropah akan memberi kelegaan buat penyokong masing-masing. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram