Tak cukup yakin benam Bilbao, Amorim anggap Man United kerap 'hilang akal'


  • Podium
  • Khamis, 08 Mei 2025

Amorim mengakui skuad The Red Devils perlu bekerja keras sekiranya mahu merealisasikan cita-cita ke pentas akhir UEL. — Agensi

KELEBIHAN selesa dimiliki Manchester United menjelang pertembungan kedua separuh akhir Liga Europa UEFA (UEL) menentang Athletic Bilbao selepas menundukkan wakil Sepanyol itu dengan tiga gol tanpa balas.

Dalam perlawanan pertama pada 2 Mei lalu, skuad The Red Devils meraih kemenangan besar dengan Bruno Fernandes mencetak dua jaringan sementara satu lagi gol disumbang Casemiro.

Kelebihan besar itu memberi suntikan semangat buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut untuk melangkah ke pentas akhir, sekali gus memadam penantian lapan tahun untuk menjuarai gelaran Eropah.

BACA LAGI: Jika hanya mahu main UCL, jangan datang ke Man United — Ruben Amorim

BACA LAGI: Kedudukan tak penting, ramai masih mahu bermain untuk Man United — Amorim

Skuad The Red Devils hadir dengan bekalan selesa selepas menundukkan Athletic Bilbao dalam aksi pertama. — Agensi

Namun, pengurus Manchester United, Ruben Amorim masih belum yakin akan peluang pasukannya berbuat demikian selepas menyaksikan isu konsistensi sekali lagi membelenggu pasukan.

Ini selepas skuad The Red Devils mengalami kekalahan ke-16 daripada 35 perlawanan EPL 2024/25 ketika berkunjung ke Brentford dalam aksi yang berkesudahan dengan kemenangan 4-3 buat tuan rumah.

Keputusan terbabit membuatkan pengurus dari Portugal tersebut semakin gusar sehingga mengatakan kelebihan tiga gol dimiliki selepas perlawanan pertama tidak menjanjikan tempat di pentas akhir UEL.

"Jika kita lihat kepada pasukan ini, kita sukar menjangkakan apa akan berlaku. Lihat sahaja semasa berdepan Brentford, kita sudah hampir mengikat kedudukan sebelum dibolosi lagi dan lagi.

BRENTFORD, ENGLAND - MAY 04: Alejandro Garnacho of Manchester United scores his team's second goal during the Premier League match between Brentford FC and Manchester United FC at Brentford Community Stadium on May 04, 2025 in Brentford, England. (Photo by Richard Heathcote/Getty Images)

Manchester United tewas sekali lagi dalam saingan EPL kepada Brentford. — Agensi

"Kita perlu bekerja keras untuk ke perlawanan akhir dan kami bersedia. Tetapi, kadang-kala dalam perlawanan, kita kelihatan seperti pasukan baik dan secara tiba-tiba, kita hilang akal," katanya.

Amorim yang dibawa masuk untuk menggantikan Erik ten Hag pada November masih gagal mengubah nasib skuad The Red Devils yang mengalami 14 kekalahan sepanjang berada di bawah bimbingannya.

Kejayaan dalam kempen UEL 2024/25 diharapkan dapat mengubati kelukaan dan kekecewaan dialami sepanjang musim memandangkan ia mampu menjadi tiket bagi mereka layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada kempen akan datang.

"Pada saya, jika anda lihat dalam EPL, kita merupakan pasukan paling teruk dari segi keputusan, itulah pandangan saya. Tetapi, pada penghujung musim, kita boleh menjadi pasukan terburuk dalam sejarah liga dengan gelaran Eropah.

Amorim mengakui masalah prestasi yang dialami Manchester United sejak kehadirannya. — Agensi

"Jadi, kita tidak akan melakukan sebarang perubahan, kita tahu musim ini sudah cukup mengecewakan. Tiada apa akan berubah, namun saya percaya ini merupakan musim terburuk dalam tempoh 50 tahun terakhir," katanya lagi.

Sekiranya Manchester United melangkah ke pentas akhir UEL, mereka berpeluang menentang sebuah lagi pasukan EPL, Tottenham Hotspur yang juga bercita-cita besar untuk mara selepas kempen mengecewakan di peringkat domestik.

Skuad The Red Devils akan berdepan Athletic Bilbao pada Jumaat di laman sendiri sementara Spurs akan berkunjung ke Norway dalam usaha mengatasi cabaran Bodo/Glimt. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram