
PEMERHATI bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berharap agar ada jalan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda beberapa kelab bagi memastikan mereka terus beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Jelasnya kelab-kelab seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC serta Kelantan Darul Naim (KDN) FC adalah antara pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dan jumlah penyokong yang ramai.
Ketiadaan kelab yang di label sebagai ‘hardcore’ dalam bola sepak Malaysia bakal memberi impak bukan sahaja kepada pemain, jurulatih dan pegawai kelab itu saja malah kepada ekosistem industri bola sepak secara keseluruhannya di mana ada pihak-pihak termasuk peniaga kecil yang bakal kehilangan punca pendapatan.
BACA LAGI: Bagaimana aksi All Star Match di Darul Aman jadi penentu masa depan Kedah?
BACA LAGI: Kedah tunai janji, kelibat bintang Portugal di Darul Aman legakan hati penyokong
“Kalau betul pasukan-pasukan seperti ini dah tak main di Liga Super, saya risau bola sepak kita akan merudum selepas ini.
“Matlamat kita dalam Liga Malaysia adalah untuk tengok pembangunan pemain, nak menggembirakan penyokong-penyokong, tapi bayangkan kalau kelab macam Pahang, Perak dan Kedah tidak lagi bertanding, banyak yang akan terjejas.
“Peluang-peluang pemain sendiri pun akan mengecil dan secara tidak langsung industri bola sepak ini semakin lenyap tanpa pasukan-pasukan yang ada kelompok penyokong besar, memang akan rugi," katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Bekas pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim juga dalam masa sama mengharapkan semua pihak dapat bekerjasama dan berganding bahu untuk berusaha mencari jalan membantu kelab-kelab tersebut bagi memastikan mereka mampu untuk terus berentap di pentas Liga Super.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim.
Bahkan, pemain-pemain juga perlu memahami kondisi sesuatu pasukan untuk cuba melakukan rundingan gaji yang lebih berpatutan seiring dengan kemampuan pasukan tersebut.
“Kita faham dengan situasi kelab-kelab ini yang berdepan masalah kewangan, tidak banyak yang boleh saya komen, tetapi saya tetap berharap akan ada sinar untuk mereka mencari jalan agar dapat terus beraksi.
“Harap semua pihak akan dapat saling membantu sebagai contoh untuk mencari penaja dan sebagainya bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi mereka dan berbelanjalah ikut kemampuan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram