PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Sergio Fabian Ezequiel Aguero atau lebih dikenali Sergio Aguero melakukan kejutan apabila turun ke padang untuk membantu barisan jurulatih Akademi Bola Sepak Rhino melatih pemain-pemain muda di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Aguero yang tidak disenaraikan dalam skuad akhir Kim Pan-gon hanya diletakkan sebagai pemain senarai bersedia bersama 20 bintang lain.
Namun begitu, Aguero jelas sekali tidak kecewa dengan keputusan Pan-gon kerana dia sempat meluangkan tempoh rehat Liga Super dengan memberikan pendedahan buat pemain-pemain muda sebagai jurulatih.
BACA LAGI: 'Cakap tutup nak buat padang', ada penyokong 'cemburu' pasukan ragbi lanyak Stadium Darul Makmur
BACA LAGI: Reziq Bani Hani, Saddil Ramdani antara 4 bintang tumpuan bakal tunjuk belang di Indonesia
Dalam posting Facebook Akademi Bola Sepak Rhino, Aguero dilihat sedang mengajar teknik sepakan yang betul kepada pemain-pemain muda dan beliau kelihatan sangat gembira dalam sesi latihan tersebut.
Malah pihak pengurusan Akademi Bola Sepak Rhino juga mahu memberikan peluang kepada pemain kelahiran Argentina menjadi jurulatih dengan membawa satu pasukan Rhino menyertai kejohanan atau liga dalam masa yang terdekat.
"Kita doakan karier Sergio Aguero sebagai jurulatih selepas beliau bersara sebagai pemain nanti akan melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu yang berkualiti.
"Sementara itu, Pengurusan Rhino FA mungkin akan meminta beliau untuk cuba bawa satu pasukan Rhino untuk menyertai kejohanan atau liga yang terdekat selepas ini," katanya.
Aguero ketika mengajar teknik sepakan kepada pemain muda Rhino. — Facebook/Akademi Bola Sepak Rhino
Usaha yang dilakukan pihak pengurusan Rhino itu juga mendapat reaksi yang positif untuk melihat Aguero pergi lebih jauh sebagai jurulatih pasukan.
"Setuju dan bagus idea itu, pengurusan dah kena ada plan dari akar umbi
"Tapi kena pastikan 'ikat ketat', hasilkan pemain muda dan bagi jurulatih yang baik atau ambil bekas pemain jadi penasihat atau pakar taktikal," kata Arriez One Syah.
"Ini sebahagian persiapan awal dia (Aguero) sebelum bersara," ujar Rhino FA.
"Dia (Aguero) ke pemain bola sepak negara yang ada lesen A?" soal Firdaus Baharom.
"Kalau macam ini, Insha-ALLAH saya nak daftar anak saya umur 13 tahun selepas Raya Haji," luah Idin Sat.
Aguero (kanan) bersama barisan jurulatih Rhino. — Facebook/Akademi Bola Sepak Rhino
Bersama Sri Pahang, Aguero tampil dalam 22 perlawanan dan menjaringkan lima gol serta enam gol sejak mewakili pasukan itu pada musim 2021 sehingga kini.
Pemain berusia 30 tahun itu juga pernah mewakili beberapa pasukan dalam Liga Malaysia seperti Melaka United, Sarawak United, Penang FC, Selangor United, KL Rovers dan Perak FC.
Bersama skuad kebangsaan pula, Aguero tampil dalam 10 perlawanan dan berjaya meledak dua jaringan ketika bertemu Laos dan Singapura dalam Piala AFF 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram